JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas FRU: Empat Mangsa Yang Dirawat Dilaporkan Stabil - Polis

22/05/2025 11:58 AM

TELUK INTAN, 22 Mei (Bernama) -- Empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)  menunjukkan perkembangan baik berbanding sebelum ini. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata menurut makluman pihak hospital  kesemua anggota berkenaan menunjukkan gerak balas positif walaupun keadaan sebelum ini dilaporkan serius. 

" … syukur mereka menunjukkan perkembangan yang baik, malah keadaan mereka lebih stabil. 

"Jika sebelum ini agak kritikal, sekarang sudah mula sedar, beri tindak balas dan sudah pasti kita gembira dengan laporan positif yang dikeluarkan oleh pihak hospital. Kita doakan agar mereka akan segera sembuh," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini. 

Bakri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya, terutama dalam situasi kecemasan serta musibah yang menimpa mereka ketika menjalankan tugas rasmi.

"Kebajikan keluarga anggota yang terlibat sentiasa dipantau dan dijaga, malah setiap hari pihak kita akan ke hospital berjumpa waris keluarga untuk berikan sokongan moral. 

"Kita sedar bahawa dalam tempoh yang sukar ini, ahli keluarga dan waris pasti masih merasa terkejut serta trauma, dan kita sentiasa pastikan sokongan emosi akan terus diberikan," katanya. 

Beliau berkata pihaknya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, badan korporat, dan warga Hilir Perak yang menghulurkan bantuan dalam apa jua cara bagi membantu anggota yang terlibat dalam kemalangan ngeri itu.

Terdahulu, Bakri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada orang awam dan semua agensi pengamal media yang membantu dalam nahas pada 13 Mei lepas. 

Dalam kejadian pada 8.50 pagi itu, sembilan anggota maut, manakala sembilan lagi cedera selepas trak FRU dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan di sini semasa dalam perjalanan pulang ke Unit 5, Sungai Senam di Ipoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan