JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Treler Maut, Empat Cedera Kemalangan Di Slim River

20/05/2025 09:19 AM

IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Seorang pemandu lori treler maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 366 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Slim River, malam tadi. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.36 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River serta Bidor digerakkan ke lokasi. 

"Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lelaki berusia 40 tahun telah tersepit di dalam kepala lori treler dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu dan kelindan lori membawa muatan paip, kedua-duanya berusia 28 tahun, mengalami cedera ringan manakala pemandu lori lima tan yang membawa muatan motosikal juga berusia 28 tahun, cedera di bahagian kaki.

“Pemandu dan penumpang MPV jenis Toyota Unser masing-masing berusia 37 dan 32 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sabarodzi berkata operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 1.09 pagi tadi. 

Sementara itu, PLUS dalam kenyataan di laman Facebook malam tadi, memaklumkan kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan sepanjang enam kilometer arah selatan manakala empat kilometer arah utara dan semua lorong terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada pengalihan kenderaan terlibat. 

Semua lorong hanya dibuka kepada kenderaan pada 3.47 pagi tadi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan