POLITIK

Kesatuan Parti Elemen Penting Mendepani PRU16 -- Nurul Izzah

20/05/2025 12:14 AM

SEREMBAN, 19 Mei (Bernama) -- Kesatuan dalam parti merupakan elemen penting dalam mendepani cabaran masa depan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata ketika ini, fokus semua pihak bukan sahaja bagi memastikan kerajaan stabil tetapi juga usaha menyantuni akar umbi perlu dipertingkat demi kekuatan parti.

"...saat inilah kita kena fokus, bukan sahaja memastikan kerajaan stabil, kesatuan kita perlu menjadi prasyarat sebelum mendekati orang lain. 

"Semangat pada malam ini perlu ditonjolkan supaya dalam tempoh 24 bulan mendatang, semua pemimpin parti di peringkat negeri dan cabang dapat dilihat sebagai barisan yang teguh untuk parti dan kerajaan," katanya ketika berucap pada Jelajah Temu Rapat Akar Umbi Negeri Sembilan dan Melaka yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Nurul Izzah berkata penyatuan parti dan pengukuhan kekuatan akar umbi perlu menekankan prinsip kepedulian rakyat sebagai teras perjuangan.

Bagi tujuan  itu, beliau berkata beberapa sesi latihan di bawah akademi politik telah dilaksanakan bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang perlu diselaraskan secara menyeluruh.

“Sebagai sebuah parti yang berada dalam kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melatih golongan wanita dan anak muda agar mampu menterjemahkan idea-idea berkaitan pendidikan serta pekerjaan ke dalam bentuk pelaksanaan yang nyata,” katanya.

Pemilihan PKR sesi 2025-2028 menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Rafizi Ramli manakala Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa dicabar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan