AM

Persatuan Pandu Puteri Kukuhkan Perpaduan Rentas Kaum, Agama

19/05/2025 07:17 PM

KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Persatuan Pandu Puteri Malaysia terus menekankan perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan status sosial menerusi pendekatan berteraskan kerangka UNITY iaitu singkatan kepada United, Networking, Inclusive, Teamwork dan Youth Driven.

Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datuk Yeoh Soo Keng berkata pentadbiran persatuan yang berasaskan kerangka UNITY dan selari dengan aspirasi semasa itu, telah membuahkan hasil memberangsangkan serta memberi manfaat besar kepada negara.

“Konsep UNITY yang menonjolkan semangat kebersamaan akan terus didokong dan diberi keutamaan dalam tahun mendatang dengan penekanan kepada perpaduan, kasih sayang serta keterbukaan dalam menerima pandangan ahli,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pandu Puteri di sini hari ini.

Berangkat merasmikan majlis berkenaan ialah adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra.

Dalam pada itu, Yeoh berkata kejayaan pelbagai program dan aktiviti pandu puteri dari peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa membuktikan keunggulan persatuan membentuk sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan belia wanita.

“Kewujudan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di semua peringkat memberi impak yang tinggi. Semua pencapaian ini tidak mungkin direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama pelbagai pihak,” ujarnya.

Beliau berkata urusan pentadbiran persatuan turut diselaraskan dengan matlamat pendidikan negara menerusi sokongan Kementerian Pendidikan.

Selain itu, beliau berkata hubungan rapat dengan pelbagai pihak dan agensi menggambarkan bahawa persatuan itu merupakan organisasi yang disenangi, diberkati dan diiktiraf sebagai rakan strategik penting dalam pembangunan nasional.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini itu menghimpunkan hampir 200 perwakilan dan ahli jawatankuasa persatuan dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan