AM

Lelaki Nyaris Dipanah Petir Di Jasin

19/05/2025 06:46 PM

JASIN, 19 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila hampir dipanah petir ketika sedang menutup pintu kereta di rumah ibu mentuanya di Kampung Batang Melaka, di sini semalam. 

Mangsa Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, dia sedang berdiri memegang payung sebelum petir secara tiba-tiba menyambar sebatang pokok durian berhampiran.

"Kejadian itu menyebabkan saya terpelanting dan jatuh terduduk. Saya kebingungan seketika melihat rupa pokok durian yang dipanah petir sebelum berlari ke arah beranda rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Muhammad Hafizuddin berkata selepas itu dia terus rebah manakala kakinya seolah dicucuk jarum halus sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin dengan ambulans.

"Pemeriksaan doktor memaklumkan saya tidak mengalami kecederaan serius kecuali kedua-dua ibu jari kaki terasa seperti terkena renjatan," kata bapa kepada empat orang anak itu yang masih dirawat di hospital berkenaan.

Muhammad Hafizuddin berkata dia sangat bersyukur kerana Allah memberi peluang kedua kepadanya untuk bersama keluarga setelah merasakan sangat dekat dengan kematian akibat insiden berkenaan.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan