ALOR SETAR, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 60,000 tiket feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi serta sebaliknya telah terjual sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang dijadualkan bermula Selasa ini.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata jumlah tiket yang terjual itu bagi tarikh bermula 20 hingga 25 Mei, dijual menerusi pembelian tiket dalam talian dan di kaunter.
"Mulai 20 hingga 25 Mei ini, sebanyak 113,000 tiket disediakan dalam sistem penjualan tiket Ferry Line dan daripada jumlah itu sebanyak 60,000 telah terjual. Ferry Line juga menambah 122 trip tambahan berdasarkan permintaan penjualan tiket yang semakin menggalakkan.
“Ferry Line juga melanjutkan perkhidmatan trip tambahan hingga 10 malam untuk kedua-dua hala dari Langkawi ke Kuala Perlis dan Langkawi ke Kuala Kedah. Ini bagi membolehkan orang ramai yang ingin menyaksikan LIMA’25 masuk dan keluar ke Langkawi pada tarikh yang sama, tetapi tertakluk kepada trip feri yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata bagi mengatasi kesesakan yang dijangka berlaku di Terminal Feri Kuala Perlis dan Terminal Feri Kuala Kedah, penumpang dinasihatkan berada di terminal sekurang-kurangnya sejam lebih awal daripada masa feri dijadualkan berlepas bagi mengelak ketinggalan feri.
“Ferry Line juga akan menambah perjalanan bagi sektor Kuala Perlis ke Langkawi, berikutan siapnya projek pengerukan berhampiran perairan Kuala Perlis. Ini sekali gus membolehkan pihak feri mengendalikan lebih banyak perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi dan sebaliknya.
“Kita juga ingin menasihatkan penumpang untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih awal, dengan membeli tiket pergi dan balik menerusi aplikasi ‘Cuti-Cuti Langkawi’,” katanya.
Dalam pada itu, Norhafiz berkata sambutan dan permintaan tiket feri bagi LIMA’25 kali ini menunjukkan peningkatan berbanding penganjuran LIMA’19 dan LIMA’23.
“Bagi LIMA’19, sebanyak 25,000 tiket terjual dengan 64 trip dilaksanakan manakala LIMA’23 sebanyak 31,138 tiket terjual dengan 64 trip dilaksanakan. Bagi LIMA’25 pula, setakat hari ini sebanyak 60,000 tiket telah terjual, dengan 122 trip dilaksanakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial