KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa hari ini, ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang ‘mengembara ke masa lalu’ dengan meneroka sejarah serta warisan yang terdapat di muzium di seluruh negara.
Sebanyak 19 muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dibuka secara percuma kepada orang awam sempena sambutan itu.
Di ibu negara, Muzium Negara mula dipenuhi pengunjung tempatan dan pelancong asing sebaik dibuka pada 9 pagi bagi menyaksikan koleksi sejarah dan warisan negara yang dipamerkan.
Penolong Kurator Muzium Negara Siti Jumiah Abdul Razak berkata sebagai tarikan tambahan, sukarelawan ‘tour guide’ yang fasih dalam pelbagai bahasa disediakan buat pengunjung, selain persembahan tradisional dan pembukaan Galeri ASEAN sempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Pelancong dari New Zealand Beli Harvey, 26, yang tiba di Malaysia pada Jumaat lepas berkata dia teruja apabila dimaklumkan muzium dibuka secara percuma.
“Saya tidak menyangka masuk adalah percuma sempena Hari Muzium Antarabangsa. Selain itu, kepelbagaian yang terdapat di negara ini memberikan banyak pengalaman kepada saya sepanjang lawatan di sini,” katanya.
Di SELANGOR, Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam menjadi tumpuan ibu bapa untuk membawa anak-anak mengisi masa hujung minggu dengan aktiviti berfaedah.
Pekerja swasta Hani Hairi, 46, yang hadir bersama anak kembarnya berusia 14 tahun berkata kunjungan itu memberi peluang kepada anak-anaknya mengenali sejarah dengan lebih dekat dalam suasana santai dan menyeronokkan.
"Anak-anak saya teruja sebab dah lama tak masuk muzium sebab dulu saya bawa mereka ketika mereka masih kecil, jadi sekarang ada masa hujung minggu kita datang dan tengok pameran di sini,” katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, Muzium Tentera Darat di Port Dickson menjadi destinasi pilihan pengunjung, termasuk Mohd Khairil Abidin, 45, yang membawa lima anaknya setelah mengetahui kemasukan percuma menerusi Facebook.
Di MELAKA, peluang kemasukan percuma dimanfaatkan pengunjung, termasuk Siti Hafizah Yusop, 40, dari Durian Tunggal, Alor Gajah yang hadir bersama suami dan empat cahaya matanya ke Muzium Seni Bina Malaysia.
"Sememangnya sangat menarik, lawatan ke muzium bukan sahaja memberi pendedahan tentang sejarah dan budaya malah mengukuhkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti bermanfaat,” katanya.
Di JOHOR, Muzium Kota Johor Lama di Kota Tinggi dikunjungi pelawat tempatan dan antarabangsa bagi mengamati kisah gemilang kota bersejarah yang pernah menjadi pusat pemerintahan penting selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada 1511.
Pelancong dari Riau, Indonesia, Rashid Tain, 65, antara pengunjung yang hadir buat kali pertama bersama keluarga ke muzium berkenaan.
Di PAHANG, Muzium Sungai Lembing merekodkan kehadiran 213 pengunjung setakat 11 pagi, dengan aktiviti seperti mendulang bijih timah secara tradisional menjadi tarikan utama.
Ketua Muzium Peterson Augustine Anak Augustine Jadan berkata pendekatan inklusif dan interaktif yang dilaksanakan mampu memupuk minat golongan muda terhadap warisan perlombongan yang sinonim dengan kawasan itu.
Di PERAK, orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Muzium Perak di Taiping yang turut menawarkan kemasukan percuma hari ini.
Di KEDAH, Muzium Kota Kuala Kedah di Alor Setar turut menerima kehadiran ramai pelawat.
Muzium yang terletak di muara Sungai Kedah itu memaparkan sejarah pertahanan kota yang dibina pada abad ke-18 dan mempamerkan pelbagai artifak arkeologi, seramik, batu bata asal kota serta maklumat mengenai serangan penjajah, khususnya Bugis, Aceh, dan Siam.
Di PERLIS, Muzium Kota Kayang yang menawarkan kemasukan secara percuma sejak dibuka pada 2001 turut menjadi tumpuan pengujung sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa.
Pembantu Muzium Kota Kayang Norhayati Wahab berkata sambutan kali ini agak meriah dan pihak muzium merancang menganjurkan aktiviti bersama pelajar sekolah hujung bulan ini sebagai kesinambungan kepada sambutan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial