AM

JMG Belum Terima Permohonan Ulasan Teknikal Operasi Kafe Di Gua Cenderawasih

18/05/2025 04:04 PM

KANGAR, 18 Mei (Bernama) -- Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau aktiviti pengoperasian kafe dalam Gua Cenderawasih, Bukit Lagi di sini.

JMG dalam kenyataan hari ini memaklumkan mengikut prosedur pemajuan fizikal, sebarang pembangunan perlu dirujuk kepada JMG oleh PBT sebagai agensi teknikal di bawah Jawatankuasa ‘One Stop Center’ (OSC).

"JMG juga menekankan bahawa pembangunan di sekitar bukit batu kapur hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur yang diterbitkan oleh JMG bagi memastikan keselamatan orang awam.

"Sebagai agensi teknikal yang bertanggungjawab dalam pembangunan geopark di peringkat nasional, JMG terus komited mengenal pasti, memulihara dan memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan dengan pemuliharaan dan pengurusan sumber geologi termasuk geotapak bernilai tinggi," menurut kenyataan itu.

Pada 13 Mei lepas, media melaporkan Kerajaan Perlis kekal dengan pendirian menangguhkan pembinaan kafe itu bagi meneliti secara terperinci garis panduan ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berhubung pemeliharaan geotapak.

Media turut melaporkan cadangan pembinaan kafe itu mendapat bantahan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang tindakan berkenaan akan menjejaskan warisan geologi berusia ratusan juta tahun itu.

Sementara itu, JMG dalam kenyataan berkenaan menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-42 dijadikan panduan utama dalam sebarang pembangunan geopark termasuk di Perlis Geopark.

"JMG akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan dilakukan secara berhemah dan lestari, sejajar dengan prinsip ‘pembangunan tanpa kemusnahan’," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan isu pembangunan fasiliti komersial dalam gua itu menimbulkan kebimbangan berkaitan kesan terhadap pemuliharaan warisan geologi dan aspek keselamatan geobencana.

"Gua ini terletak dalam geotapak Bukit Lagi, sebahagian daripada kawasan Perlis Geopark dan pemuliharaannya selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang," menurut kenyataan itu.

JMG memaklumkan Geotapak Bukit Lagi terbentuk daripada batu kapur Formasi Setul yang berusia lebih 480 juta tahun dan kaya dengan pelbagai jenis fosil seperti nautiloid, gastropod dan brakiopod serta kawasan itu turut menampilkan ciri geologi unik seperti takik laut purba, gua-gua kecil dan struktur batuan berbentuk cendawan serta tengkorak.

"Justeru, ia merupakan khazanah warisan geologi negara yang bernilai tinggi serta menjadi rujukan penting kepada saintis dalam dan luar negara. Tindakan seperti mengecat dinding gua, membina struktur kekal serta menutupi formasi geologi semula jadi termasuk fosil dan stromatolit seperti yang dilaporkan oleh media, pasti boleh menjejaskan nilai saintifik dan estetik kawasan berkenaan," menurut kenyataan itu. 

JMG memaklumkan dalam konteks pembangunan geopark, semua aktiviti nilai tambah perlu selari dengan tiga elemen utama iaitu pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan