SIBU, 17 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perpaduan rakyat merupakan kunci utama dalam menjayakan agenda pembangunan negara, khususnya dalam menghadapi cabaran global dan ketidakstabilan politik.
Berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Skim Penempatan Semula Sekuau, Selangau hari ini, Fadillah berkata usaha merancang dan melaksanakan pembangunan negara tidak akan berjaya sekiranya rakyat berpecah belah.
“Dalam pembangunan negara kita yang semakin mencabar sekarang ini, kita tidak akan dapat merencanakan pembangunan jika kita tidak bersatu padu,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Beliau berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan telah membawa kestabilan yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Alhamdulillah, kita dapat lihat pertumbuhan ekonomi negara tetap kukuh walaupun berdepan cabaran global seperti tarif baharu oleh Amerika Syarikat, konflik Ukraine-Rusia dan ketegangan di Asia Selatan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita masih kekal pada kadar yang memberangsangkan – menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang sihat,” katanya.
Menurut Fadillah, pertumbuhan ekonomi yang stabil membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak peruntukan untuk pembangunan fizikal dan bantuan rakyat.
Beliau turut memuji Sarawak sebagai contoh terbaik perpaduan di negara ini yang hidup dalam keharmonian tanpa mengira latar belakang agama dan budaya, justeru beliau menggesa agar semangat berkenaan terus dipelihara.
Fadillah turut mengingatkan kepada hadirin tentang pesanan bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Datuk Adenan Satem mengenai pentingnya kebersamaan rakyat dengan mengekalkan semangat perpaduan dalam apa jua keadaan.
Sementara itu, beliau meminta Jabatan Pendidikan untuk berbincang dengan wakil rakyat di kawasan berkenaan untuk menentukan tempat baharu yang sesuai bagi memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) St Mark, Selangau yang terlalu kerap dilanda banjir.
Beliau juga akan memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung permintaan komuniti untuk membina tugu peringatan di kawasan Sekuau, menambah baik klinik kesihatan, sekolah dan pembinaan balai polis baharu.
Beliau berkata sebanyak RM560,000 diperuntukkan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak bagi membaik pulih rumah panjang di kawasan Sekuau.
“Saya serahkan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk berbincang rumah panjang mana akan diberikan keutamaan. Kita akan terus membaik pulih rumah panjang lain di sini sekiranya ada peruntukan pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin Ir Christopher Gira Sambang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial