AM

Raja Perlis Tegur Segelintir Penjawat Awam Di Perlis Penting Diri

17/05/2025 04:43 PM

ARAU, 17 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini menegur cara kerja segelintir penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu apabila didapati mementingkan diri berbanding kepentingan rakyat.

Sehubungan dengan itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mereka perlu menukar budaya kerja berkualiti termasuk membetulkan pengurusan waktu bekerja di pejabat bagi memberikan contoh yang baik sebagai penjawat awam.

“Ada penjawat awam yang pentingkan diri (berbanding) rakyat … saya dapat maklumat dan saya sendiri pun ada pengalaman cara-cara mereka bekerja, tetapi bukan tidak boleh berubah, mereka sendiri kena tukar (budaya kerja) sebelum ditukarkan. 

“Saya minta penjawat awam yang terlibat mengikut contoh yang baik ditunjukkan oleh sahabat tuan-tuan dan puan-puan … saya harap pegawai yang terlibat itu faham maksud saya,” titah baginda pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 di Istana Arau, di sini hari ini.

Berangkat sama pada istiadat penganugerahan itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Perlis bertitah baginda mahu Perlis maju ke hadapan seperti negeri lain dan tidak ketinggalan sekali gus memerlukan kesungguhan setiap pihak dalam menjalankan tugas masing-masing supaya jentera pentadbiran negeri boleh membawa pembangunan kepada Perlis.

Pada istiadat penganugerahan itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 25 penerima dan jumlah penerima itu ialah jumlah simbolik yang dipilih bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis yang diraikan bermula pada 17 April lepas hingga 16 April 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan