TAWAU, 17 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada hujung minggu lepas bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung, tetapi juga membawa limpahan rezeki kepada penduduk di sini.
Penganjuran program tiga hari itu memberi tempias positif kepada pemain industri termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta jualan hasil laut kering yang menjadi tumpuan petugas dan pegawai kerajaan dari Semenanjung yang terlibat dalam program berkenaan.
Pengusaha inap desa Siti Fatima Hari, 55, berkata tiga rumah milik keluarganya, iaitu sebuah di Taman Muhibbah Jaya dan dua lagi di Taman Semarak Indah habis ditempah untuk tempoh seminggu dengan kadar bayaran RM300 untuk satu malam.
"Tempahan dilakukan sebulan sebelum program, mereka yang menginap datang dari Kota Kinabalu, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang tiba dua hari lebih awal kerana perlu membuat persiapan bagi program berkenaan.
"Meskipun tempahan sudah penuh, saya terima lebih 10 panggilan yang bertanyakan sama ada inap desa masih kosong atau tidak, saya menolak dengan cara baik dan memberikan nombor telefon rakan lain yang juga pengusaha inap desa di sini," katanya kepada Bernama.
Bagi pengusaha inap desa di Taman Ria Height, Rosa Belle Edward, 48, inap desa dua tingkat dengan empat bilik yang diusahakan sejak dua tahun lepas itu disewakan pada kadar RM300 satu malam selama seminggu kepada penjawat awam dari Kuala Lumpur yang terlibat dengan PMR.
"Saya difahamkan tempahan hotel di Tawau penuh untuk acara PMR, saya bersyukur program yang dibawa kerajaan untuk rakyat ini turut membuka ruang pendapatan kepada saya dan penduduk setempat, ada juga yang menyewa kenderaan bagi kemudahan mereka bergerak ke bandar," katanya.
Selain itu, peniaga kedai makan berhampiran Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Rosnani Mukbar, 53, berkata jualannya bertambah semasa PMR berlangsung dan antara menu tumpuan ialah nasi kuning daun pisang yang dijual RM6 sebungkus.
"Jika nasi lemak dianggap hidangan sarapan yang wajib bagi masyarakat di Semenanjung, di sini pula tidak lengkap jika waktu pagi anda tidak menikmati nasi kuning, selain berlaukkan ayam ada juga nasi kuning ikan tulai atau ikan kerisi.
"Saya mendapat untung berganda sepanjang PMR berbanding hari biasa, selain nasi kuning saya turut menjual nasi ayam penyet, mi tauhu serta kuih seperti karipap dan seri muka," katanya.
Penjaja makanan, Suhardi Lamiding, 38, pula yang menjual pisang goreng serta air minuman sejak setahun lepas di belakang Majlis Perbandaran Tawau turut terkena tempias apabila mampu mendapat lebih RM100 sehari.
Pada hari biasa katanya, dia dan isteri hanya mampu memperoleh jualan RM50 sehari dan menyifatkan suasana di kedai makan serta gerai makanan sekitar meriah dengan pengunjung PMR.
Sementara itu, pengusaha kereta sewa Samsudin Kahar berkata enam kereta miliknya termasuk pacuan empat roda turut disewakan selama seminggu dengan kadar antara RM60 hingga RM200 sehari.
"Saya bersyukur ada rezeki kami, bukan sahaja hotel penuh, tetapi sewa pengangkutan juga laris kerana PMR 2025 Sabah," katanya yang berharap lebih banyak program seumpana itu dibawa masuk ke Tawau bagi mempromosikan daerah berkenaan.
Di samping itu, Pasar Tanjung Tawau, di sini yang terkenal dengan jualan hasil laut kering termasuk makanan tradisi turut menjadi tumpuan, khususnya selepas PMR melabuhkan tirai.
Peniaga Samsudin Hape, 60, berkata sehari selepas program itu tamat, ramai pembeli dari Kuala Lumpur yang rata-ratanya bertugas pada PMR datang membeli produk jualannya antaranya ikan bilis mata biru, ikan masin dan sotong kering untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh.
"Hampir 30 kilogram ikan bilis mata biru terjual, syukur ada program sebegini yang secara tidak langsung peniaga turut mendapat rezeki lebih," katanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick sebelum ini berkata PMR 2025 Sabah yang berlangsung pada 9 hingga 11 Mei lepas berjaya mencapai objektif dengan lebih 150,000 pengunjung menerima pelbagai manfaat daripada 36 reruai kementerian serta lebih 200 perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial