EKONOMI

Malaysia Tekankan Daya Tahan, Keterangkuman Dalam Perdagangan Di Mesyuarat MRT APEC

17/05/2025 11:58 AM

 

Daripada Muhammad Muzammil Abdullah

JEJU (Korea Selatan), 17 Mei (Bernama) -- Malaysia sekali lagi mengulangi komitmennya untuk memupuk persekitaran perdagangan yang berdaya tahan, keterangkuman dan bersedia menghadapi masa depan.

Ini dinyatakan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) kali ke-31 yang baru sahaja berakhir di sini, hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia adalah penting agar pakatan berkenaan terus mengadakan dialog dan platform seperti itu terutamanya sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin APEC pada Oktober nanti.

“Kita telah melihat kemajuan yang baik dalam pelbagai bidang seperti kerjasama perdagangan khususnya dalam kecerdasan buatan (AI), kemampanan dan kepentingan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan,” katanya kepada Bernama.

Dalam satu kenyataan selepas itu, Tengku Zafrul turut mengulangi komitmen teguh Malaysia terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang berpandukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras utama.

Beliau berkata Malaysia menekankan sistem perdagangan yang terbuka, telus dan adil kerana ia penting untuk kestabilan ekonomi serantau dan global.

Malaysia juga turut menggesa pemulihan segera mekanisme penyelesaian pertikaian WTO, serta kemajuan dalam rundingan utama seperti perdagangan digital dan subsidi perikanan.

Selain itu, beliau mencadangkan penumpuan yang lebih rapat antara inisiatif digital APEC dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), termasuk pengiktirafan bersama untuk kelayakan digital dan skim peniaga yang boleh dipercayai, bagi meningkatkan kepaduan kawal selia dan menggalakkan perdagangan digital yang lancar.

“Mengenai keterangkuman, salah satu cadangan Malaysia adalah untuk meningkatkan usaha pembinaan kapasiti, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang-bidang seperti ekonomi kitaran, perakaunan karbon dan pertanian pintar.

“Kemajuan sebenar adalah apabila perniagaan daripada semua saiz mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memanfaatkan kemajuan dalam teknologi dan AI bagi mencapai pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Dalam Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan 2025, para menteri secara kolektif mengiktiraf kepentingan WTO dalam memajukan isu-isu perdagangan dan mengesahkan semula peranan APEC bagi mewujudkan rantau Asia-Pasifik yang lebih berdaya tahan dan makmur.

Tengku Zafrul berkata ini membuktikan bahawa APEC masih merupakan platform yang relevan untuk mengemukakan pelbagai isu berkaitan pakatan ekonomi itu.

Sebagai sebahagian daripada kepimpinan lebih luas Malaysia dalam memajukan kerjasama serantau, dan dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, beliau juga telah mempengerusikan Kaukus Menteri APEC-ASEAN yang julung kali diadakan di luar Mesyuarat MRT.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata kaukus itu berperanan sebagai platform strategik untuk menyelaraskan keutamaan ekonomi, memperkukuh kerjasama antara wilayah dan menyelaras tindak balas kepada cabaran bersama.

 Di bawah Kepengerusian Malaysia, mesyuarat itu juga menekankan kepentingan perpaduan dan pemusatan ASEAN dalam menangani isu-isu serantau dan global yang kompleks, sambil menegaskan keperluan menyelesaikan ketegangan perdagangan melalui dialog serta mempertahankan perdagangan yang terbuka, adil dan inklusif dalam menghadapi fahaman perlindungan (protectionism) yang semakin meningkat.

“Kita juga membawa pandangan Malaysia. Sebagai Pengerusi ASEAN, kita turut membawa pandangan ASEAN ke Sidang Kemuncak APEC.

“Bagi Malaysia, kita terus kekal dengan pendirian sebagai sebuah negara berkecuali dan sebagai negara ekonomi terbuka. Kita berdagang dengan semua negara dan kita juga ingin mengalu-alukan pelabur untuk datang ke Malaysia tanpa mengira blok atau ekonomi mereka,” jelasnya.

Di luar Mesyuarat MRT APEC, Tengku Zafrul turut mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat utama, termasuk Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Jamieson Greer bagi membincangkan isu-isu berkaitan tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS.

Pertemuan peringkat tinggi ini memberikan peluang penting kepada Malaysia untuk mengemukakan cadangan dalam menangani isu tarif AS, dengan pusingan ketiga perbincangan dijadualkan berlangsung di Washington pada Jun.

Dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Tengku Zafrul turut menekankan usaha kolektif Negara-Negara Anggota ASEAN dalam menangani isu tarif berkenaan, khususnya melalui Kenyataan Bersama oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April, 2025.

Sementara itu, dalam pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan Korea Selatan Inkyo Cheong, Tengku Zafrul sebelum ini menyatakan bahawa perbincangan sedang berjalan lancar dan perjanjian perdagangan bebas dijangka dimuktamadkan pada Oktober di Kuala Lumpur.

Semasa Mesyuarat MRT, Malaysia turut mengetengahkan inisiatif nasional utama seperti Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, yang kedua-duanya bertujuan memanfaatkan teknologi AI bagi mengurangkan rintangan dalam perdagangan, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh ketelusan rantaian bekalan merentas sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan