DUNIA

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Tidak Menentu Minggu Depan

17/05/2025 10:40 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Dagangan di Bursa Malaysia dijangka tidak menentu minggu depan walaupun keyakinan pasaran disokong oleh sentimen global yang bertambah baik, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal dalam prospek konstruktif dalam trajektori jangka pendek.

Beliau berkata keyakinan itu disokong oleh ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin reda, peningkatan aliran masuk asing ke dalam aset Malaysia dan pengukuhan ringgit.

"Sehubungan itu, pelabur juga harus bersedia menghadapi ketidaktentuan minggu depan kerana bank pusat di Australia, China dan Indonesia dijangka mengumumkan keputusan dasar monetari.

"Indeks penanda aras telah menembusi paras rintangan 1,555, kali terakhir diuji adalah pada Mac dalam persekitaran spekulasi tarif AS dan bagi tempoh seketika mencecah paras 1,586 pada 15 Mei, berpotensi bergerak ke arah ambang psikologi 1,600," katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama 2024, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan disokong oleh keadaan pasaran buruh dan dasar kerajaan yang menggalakkan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata perhatian pelabur juga akan tertumpu pada sejumlah besar data ekonomi seperti indeks harga pengguna (IHP) teras zon euro, angka pengeluaran perindustrian China dan perkembangan terbaharu daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS.

"Kami menjangkakan indeks penanda aras akan kekal dalam jajaran kecil untuk beberapa minggu akan datang bagi menunggu pemangkin baharu," katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks petunjuk pasaran meningkat 25.25 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini kepada 1,571.75 berbanding 1,546.50 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 256.66 mata kepada 11,746.04, Indeks FBMT 100 menokok 215.46 mata kepada 11,472.70, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 283.83 mata kepada 11,674.18, Indeks FBM 70 melonjak 427.87 mata kepada 16,702.41 manakala Indeks FBM ACE menokok 116.66 mata kepada 4,765.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 246.70 mata kepada 18,487.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 7.39 mata kepada 159.68. 

Indeks Tenaga meningkat 34.41 mata kepada 729.38, Indeks Perladangan melonjak 101.82 mata kepada 7,385.59, bagaimanapun Indeks Penjagaan Kesihatan susut 62.08 mata kepada 1,880.34.

Jumlah dagangan mingguan menambah kepada 14.98 bilion unit bernilai RM12.68 bilion daripada 14.27 bilion unit bernilai RM11 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 7.46 bilion saham bernilai RM11.37 bilion daripada 6.95 bilion unit saham bernilai RM10.36 bilion.Jumlah dagangan waran melonjak kepada 5.59 bilion unit bernilai RM703.66 juta daripada 5.38 bilion unit bernilai RM724.18 juta seminggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula berkurangan kepada 1.93 bilion saham bernilai RM601.97 juta berbanding 1.95 bilion saham bernilai RM499.42 bilion pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan