AM

Kutipan Hasil Pahang Cecah Lebih RM400 Juta

16/05/2025 10:50 PM

KUALA LIPIS, 16 Mei (Bernama) -- Kutipan hasil negeri Pahang mencecah lebih RM400 juta setakat ini, sekali gus berada di landasan yang betul untuk mencatat kutipan lebih RM1 bilion seperti tahun sebelumnya.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lepas, prestasi kutipan hasil negeri pada tahun ini dilihat lebih baik.

“Kutipan hasil ini dapat dicapai kerana kita berupaya menguruskan ketirisan dan kebocoran selain anak-anak syarikat kerajaan negeri berjaya mencatat keuntungan,” katanya pada sidang media selepas Program FGV Seikhlas Hati: Majlis Sumbangan FGV bersama Menteri Besar Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah di Sungai Koyan di sini petang tadi.

Pada program berkenaan, FGV menyalurkan bantuan RM80,000 daripada zakat wakalah perniagaan kepada 200 penerima asnaf, iaitu setiap individu menerima wang tunai RM300 dan hamper barangan SAJI bernilai RM50.

Di samping itu, Masjid Sultan Ahmad Shah di Sungai Koyan turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000. 

Wan Rosdy berkata antara resipi kejayaan itu adalah kerjasama erat yang dipamerkan oleh semua pihak meliputi pemimpin, penjawat awam dan agensi kerajaan dalam usaha memajukan negeri Pahang.

“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dicapai, ia bukan usaha saya seorang tetapi usaha semua pihak seperti satu pasukan dan kita bekerja juga dalam suasana kekeluargaan,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama baharu kerajaan negeri bersama FGV yang akan dilakukan pada masa hadapan, beliau mengakui pelbagai perancangan sedang dilaksanakan dan ia tidak boleh diumumkan sebelum dimuktamadkan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan