SAN JOSÉ, CALIFORNIA, 16 Mei (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, supaya memindahkan lebih banyak pengeluaran ke AS, sambil mengkritik peningkatan pengeluaran syarikat itu di India, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bercakap pada satu majlis di Qatar pada Khamis, Trump berkata: “Saya berkata kepadanya, Tim, anda kawan saya. Saya melayan anda dengan sangat baik. Anda datang ke sini dengan US$500 bilion tetapi sekarang anda membina kilang di merata India.”
Beliau menambah bahawa beliau tidak mahu Apple mengeluarkan produk di India - kecuali bagi peranti yang ditujukan untuk pasaran India.
Gesaan daripada pentadbiran Trump supaya Apple memasang iPhone di AS semakin meningkat, walaupun pakar mengatakan langkah sedemikian memerlukan pelaburan besar dan berkemungkinan menyebabkan harga lebih tinggi bagi pengguna.
Di bawah kepimpinan Cook, Apple telah membangunkan rangkaian bekalan yang meluas di seluruh Asia, dengan kebanyakan pengeluaran berpusat di China. Namun, gangguan semasa sekatan COVID-19 di China mendorong syarikat itu untuk mengembangkan pengeluarannya di India dan Vietnam.
Di tengah-tengah rancangan tarif baharu Trump, Apple telah menyusun semula logistiknya bagi pasaran AS.
Kebanyakan iPhone yang dijual di AS kini dijangka dihasilkan dari India, manakala iPad, Mac dan Apple Watch hampir sepenuhnya akan diperoleh dari Vietnam - dua negara yang dijangka mendapat manfaat daripada tarif lebih rendah berbanding China.
Setiausaha Perdagangan Trump, Howard Lutnick, baru-baru ini berkata Cook memberi jaminan bahawa Apple akan memulakan pengeluaran iPhone di AS sebaik sahaja lengan robotik yang cukup tepat tersedia.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial