POLITIK

Pemilihan PKR: Terserah Kepada Nurul Izzah, Rafizi Putuskan Untuk Berdebat

16/05/2025 05:15 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada kedua-dua calon Timbalan Presiden PKR sama ada mahu meneruskan debat atau sebaliknya, dalam siri kempen mereka bagi pemilihan parti sesi 2025-2028.

“Kedua-duanya adalah tokoh yang amat dikenali dan mereka aset kepada parti. Ahli parti kenal serta mengetahui rekod prestasi kedua-duanya.

“Untuk berdebat, ia bergantung kepada calon-calon untuk menyambut atau menolaknya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang bersaing bagi jawatan Timbalan Presiden, menolak pelawaan debat terbuka yang dicadangkan penyandangnya, yang juga Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Pemilihan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rafizi dan Nurul Izzah, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden. 

Bagi jawatan Naib Presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula tidak dicabar untuk menang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) berebut jawatan Ketua Wanita PKR.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor, dengan pengundian bagi pimpinan pusat ditetapkan pada 23 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan