AM

Guru Wira Sejati Bentuk Masa Depan Malaysia - PM Anwar

16/05/2025 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan para guru sebagai wira sejati dalam membentuk masa depan Malaysia serta sebagai ejen terhebat yang berjuang di medan ilmu dalam memastikan misi pendidikan negara tercapai.

Anwar dalam klip video yang dikongsi di laman Facebook berkata, beliau menghargai semangat guru yang tinggi selaku tunjang utama negara dalam melahirkan generasi MADANI, selain membentuk masa depan Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pendidik kita..mengajar kita, mendidik kita menyampaikan ilmu semata-mata untuk melahirkan generasi MADANI.

“Teruskan misi menyemai ilmu dengan tulus dan tekad. Kami semua menjadi saksi betapa besarnya jasa guru, andalah wira sejati yang membentuk masa depan Malaysia,” katanya dalam Ucapan Khas Sempena Hari Guru hari ini.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook yang sama, Anwar berkata guru ialah insan mulia yang tidak pernah meminta untuk dipuja, tetapi setiap hari mereka menghembus kesabaran dalam mengukir masa depan anak bangsa dengan penuh kasih sayang.

“Dalam kehidupan ini, siapa pun kita sama ada pemimpin, doktor, jurutera, petani, malah Perdana Menteri sekali pun, semuanya pernah belajar menulis, membaca dan mengira. Segalanya bermula di dalam bilik darjah.

“Maka, sempena Hari Guru ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik,” katanya.

Beliau berkata setiap guru adalah seorang satria yang sabar membentuk akhlak, satria yang teguh mempertahankan nilai.

“Tugas kita belum selesai kerana penat lelah membentuk sahsiah seorang insan tidak berakhir dengan tamatnya sesi persekolahan. Ia adalah amanah yang berterusan, dari satu generasi ke generasi seterusnya, demi meneruskan pembinaan masyarakat MADANI,” katanya.

Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-54 diadakan di Kuching, Sarawak bermula Rabu hingga hari ini bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan