AM

Malaysia Nyata Komitmen Tiada Manipulasi Pekerja Bangladesh - Saifuddin Nasution

15/05/2025 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan komitmen Malaysia dalam memastikan tiada manipulasi, eksploitasi atau penipuan pekerjaan terhadap warga Bangladesh di negara ini. 

Beliau yang menerima kunjungan hormat Penasihat kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Dr Asif Nazrul hari ini turut berharap kerjasama berterusan daripada pihak Bangladesh agar dapat memastikan perkara ini direalisasikan.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk membincangkan secara mendalam isu-isu berkaitan pengurusan pekerja asing dari Bangladesh, yang terkait beberapa perkara dasar dan operasi bagi pengurusan tenaga kerja asing dan juga komitmen utama kerajaan dalam menurunkan kos migrasi,” katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.

Saifuddin berkata beliau turut merakamkan ucapan terima kasih daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan kerajaan Bangladesh yang berterusan dalam usaha memperkemaskan pengurusan pekerja asing di Malaysia. 

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan di laman X berkata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong juga membincangkan pelbagai isu penting berkaitan kebajikan dan pengurusan pekerja asing, khususnya dari Bangladesh ketika menerima kunjungan Asif di kementerian itu.

KESUMA memaklumkan kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan ekosistem pekerjaan yang selamat, adil dan menghormati hak pekerja.

“Sim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menjadi destinasi pekerjaan yang beretika, dengan memastikan akses pekerja asing kepada perlindungan sosial, kebajikan dan latihan kemahiran, selaras dengan teras Ihsan, keadilan dan kesejahteraan dalam kerangka Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan