DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kejatuhan Harga Minyak Kacang Soya

15/05/2025 10:06 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) menamatkan kenaikan selama empat hari apabila ditutup rendah pada Khamis, dipengaruhi oleh kejatuhan harga minyak kacang soya.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata penurunan itu mencerminkan kebimbangan terhadap kemungkinan perubahan dasar kredit biobahan api boleh diperbaharui di Amerika Syarikat.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,750 satu tan dan paras rintangan pada RM3,950 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 susut RM69 kepada RM3,831 satu tan, manakala Jun 2025 dan Julai 2025 masing-masing merosot RM55 kepada RM3,872 dan RM3,868 satu tan.

Kontrak Ogos 2025 turut menguncup sebanyak RM59 kepada RM3,856 satu tan, September 2025 jatuh RM54 kepada RM3,852 satu tan dan Oktober 2025 turun RM45 kepada RM3,855 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 96,117 lot daripada 121,576 lot semalam, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 238,933 kontrak berbanding 242,608 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan turun RM50 kepada RM3,930 satu tan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan