EKONOMI

SEAcare 2025 Jana Potensi Jualan RM1.1 Bilion

15/05/2025 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pameran Penjagaan Kesihatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara ke-25 (SEAcare 2025) telah menjana lebih daripada RM1.1 bilion dalam potensi jualan dan dalam edisi seterusnya, mahu mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.5 bilion.

Diadakan mulai 23 hingga 25 ​​April di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), acara itu menarik lebih daripada 10,800 pelawat perdagangan, dengan 130 peserta pameran dari 13 negara dan pasaran.

Menurut penganjur acara tersebut, Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, acara itu telah mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk kolaborasi dan inovasi penjagaan kesihatan.

Pengerusi Eksekutif Richard Teo berkata edisi tahun ini telah menunjukkan momentum yang menggalakkan, dari kualiti penyertaan serantau kepada angka perbincangan perniagaan dan perkongsian strategik yang bermakna.

"Dengan selera yang semakin meningkat untuk kerjasama serta inovasi dalam penjagaan kesihatan, kami teruja bagi membina asas ini ketika kami meninjau ke arah pengendalian platform yang lebih berkesan dan inklusif menjelang 2026," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Qube Integrated memberitahu salah satu pencapaian yang menonjol pada tahun ini adalah pelancaran Zafar Venture Capital Fund dengan kerjasama 5 Pillar Ventures, rakan persidangan SEAcare.

"Walaupun tiada komitmen pembiayaan serta-merta dibuat, inisiatif tersebut mencetuskan lebih daripada 70 hubungan baharu antara pemula niaga, pelabur serta mentor, yang menonjolkan peranan SEAcare yang semakin bertambah sebagai platform pelancaran untuk pembangunan inovasi dan ekosistem," katanya. 

SEAcare 2025 disokong oleh agensi-agensi utama seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan SIRIM Bhd, yang mana, usaha bersama mereka telah mewujudkan rangkaian global serta peluang perniagaan kepada pemain penjagaan kesihatan tempatan dan serantau.

Untuk tahun depan, Qube Integrated berkata SEAcare 2026 akan kembali ke MITEC Kuala Lumpur dari 28 hingga 30 April 2026 selain menerima 200 syarikat pameran dan 15,000 pelawat perdagangan.

"Penonjolan utama SEAcare 2026 adalah Pameran Perdagangan dan Konvensyen Saintifik oleh Persatuan Pergigian Malaysia termasuk Ekspo Kesihatan Antarabangsa oleh Green Wellness, semuanya akan disatukan di bawah Sidang Kemuncak Kesihatan Asia 2026 untuk memperluaskan jangkauan acara dan meningkatkan penawaran khususnya," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan