AM

Anwar Temui Mufti Besar Rusia, Erat Ukhuwah Muslim Dua Negara

15/05/2025 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar Rusia Sheikh Ravil Gaynutdin sejurus selesai sesi pertemuan rasmi beliau dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Anwar berkata pertemuan itu bertujuan mempereratkan ukhuwah antara komuniti Islam Malaysia dan Rusia yang merentasi sempadan geografi dan kepelbagaian budaya, di samping memperkukuh hubungan dengan lebih 25 juta umat Islam di Rusia.

"Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran, serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pertemuan itu, perdana menteri turut merakamkan penghargaan atas peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk Rusia.

“Ini adalah usaha yang amat berharga dalam dunia yang semakin dicalari perpecahan, kebencian dan prejudis," kata Anwar. 

Sebagai simbol persahabatan dan ikhtiar dakwah, Anwar menghadiahkan Sheikh Ravil senaskhah al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa Rusia, selari dengan aspirasi MADANI untuk mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia bagi memperluas kefahaman terhadap ajaran Islam serta menangkis gelombang Islamofobia.

Sebagai balasan penuh makna, Sheikh Ravil yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia turut menghadiahkan Perdana Menteri senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang memiliki nilai sejarah dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan zaman.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Rusia bermula 13 Mei atas undangan Putin. Beliau dijadualkan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke  ke Kazan, Tatarstan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan