KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman terbaharu rejim Zionis Israel untuk terus meningkatkan serangan ketenteraan di Gaza, walaupun usaha ke arah gencatan senjata sedang giat dijalankan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata tindakan rejim yang secara terang-terangan meneruskan genosid, menyebabkan kebuluran dan pengusiran besar-besaran penduduk Gaza atas nama "pemindahan secara sukarela", sambil mendesak negara-negara lain menerima pelarian Palestin yang diusir, merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menuntut agar rejim Israel menghentikan kekejaman ini dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
"Malaysia terus menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka yang sah untuk kebebasan, maruah dan pembentukan negara sendiri," kata Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.
Menurut Wisma Putra, Malaysia menegaskan pendirian prinsipnya bahawa Palestin mesti diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, serta diberikan keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai negara yang setaraf.
Hampir 2.4 juta rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya telah berulang kali diusir dari kediaman mereka, terus berhadapan dengan kebuluran, pengeboman berterusan dan ancaman pengusiran kekal.
Hasrat Israel untuk mengekalkan kehadiran ketenteraan jangka panjang di Gaza hanya mengukuhkan lagi dasar penjajahan terhadap wilayah Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial