EKONOMI

MARC: Unjuran Positif Untuk Pasaran Malaysia Susulan Tarif Tangguh 90 Hari Antara AS-China

14/05/2025 07:28 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Unjuran pasaran Malaysia kekal positif susulan penangguhan selama 90 hari rundingan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut Malaysian Rating Corp Bhd (MARC).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Arshad Mohamed Ismail berkata kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesan tarif AS.

Beliau berkata pasaran bon dan sukuk domestik terus menunjukkan mudah tunai yang mencukupi.

“Memandangkan kemajuan terkini dalam rundingan di antara AS dengan China, unjuran semasa kelihatan memberangsangkan. Namun begitu, pemantauan berterusan terhadap perkembangan itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar acara MARC Lead Managers' League Table Awards 2024 di sini hari ini.

Dari segi kredit, Arshad berkata ketersediaan tidak seharusnya menjadi kebimbangan walaupun ia pada akhirnya bergantung kepada permintaan penerbit.

Beliau berkata sesetengah penerbit yang mempunyai pendedahan besar kepada pasaran AS mungkin lebih sensitif terhadap perkembangan tarif selain perlu memantau dengan teliti rundingan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, Arshad berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai perjanjian yang saling menguntungkan susulan kemajuan yang memberangsangkan dalam rundingan di antara AS dengan China.

Beliau berkata pembuat dasar yang berkaitan sedang mendekati situasi ini dengan pertimbangan yang bijak bagi memastikan hasil yang menguntungkan semua pihak berkepentingan.

Selain itu, Arshad berkata MARC mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2025 sebanyak 4.4 peratus yang digambarkan sebagai angka yang masih boleh dipuji.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata pasaran modal tidak boleh mengabaikan cabaran yang semakin berkembang dalam landskap global hari ini termasuk risiko geopolitik yang semakin meningkat, inflasi yang berterusan dan dasar perdagangan yang tidak menentu terutamanya dari AS.

Selain itu, katanya berlaku perubahan persekitaran kawal selia dengan wilayah seperti AS dan Eropah mula melonggarkan dasar monetari masing-masing.

Beliau berkata rentak serta sejauh mana langkah-langkah ini akan dilaksanakan bergantung sepenuhnya kepada keadaan inflasi masing-masing dan perubahan ini boleh mempengaruhi aliran mudah tunai ke pasaran sedang membangun seperti negara ini yang menawarkan peluang dan risiko.

"Bagi pasaran bon secara khusus, kadar faedah yang tinggi mungkin meningkatkan kos peminjaman dan permintaan sederhana terhadap instrumen pendapatan tetap.

"Penerbit mesti kekal berhati-hati dan pelabur perlu menilai pulangan yang disesuaikan dengan risiko dengan lebih teliti," katanya.

Terdahulu, Johor Plantations Group Bhd dan penasihat utama serta pengatur utama mereka, Maybank Investment Bank Bhd meraih anugerah khas MARC iaitu Anugerah Transaksi Kewangan Mampan Paling Inovatif yang mengiktiraf sukuk wakalah berkaitan mampan bernilai RM1.35 bilion.

AmInvestment Bank Bhd muncul sebagai peneraju dalam kategori Bilangan Terbitan manakala Maybank Investment Bank Bhd meraih kemenangan dalam kategori Nilai Terbitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan