BUKIT MERTAJAM, 14 Mei (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan jual beli kad hadiah palsu didalangi warga asing dalam serbuan di sebuah kondominium di Alma, di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata operasi khas itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Pulau Pinang hasil risikan serta intipan sejak beberapa hari lepas.
"Semasa serbuan di unit kondominium yang dipercayai dijadikan pusat panggilan itu, terdapat empat individu tempatan termasuk seorang wanita kesemuanya berusia 18 hingga 28 tahun dan mereka mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak seminggu lepas dengan menerima gaji RM2,600 sebulan.
"Terdapat juga seorang lelaki dan wanita warga asing berumur 23 serta 38 tahun yang didapati memasuki negara ini pada 1 Mei lepas menggunakan pas lawatan sosial, dengan kedua-duanya dipercayai dalang utama sindiket itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan hadiah palsu melalui aplikasi Telegram dan menggunakan kumpulan di aplikasi berkenaan bagi mendapatkan maklumat mangsa.
Hamzah berkata sindiket berkenaan menggunakan modus operandi operator akan menghubungi mangsa untuk menawarkan hadiah, kemudian meminta mereka mengesahkan butiran peribadi.
Beliau berkata seterusnya maklumat dihantar kepada pihak ketiga dipercayai dikendalikan seorang pentadbir Telegram yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur sebelum menghubungi semula mangsa serta mengenakan bayaran tertentu untuk hadiah itu.
Beliau berkata polis merampas empat monitor, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga modem WiFi, empat papan kekunci dan tetikus, satu kad akses, gulungan kabel Internet, tiga meja lipat, empat kerusi, empat fon kepala, wang tunai RM5,000, kunci rumah serta empat resit pembelian bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kesemua individu berkenaan direman hingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial