JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan Empat Lelaki Warga Asing Dipercayai Terlibat Dalam Pemalsuan e-PLKS

14/05/2025 04:15 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan empat lelaki warga asing di dua lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur semalam, kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan slip Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka ditahan dalam Operasi Khas melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, selepas risikan dibuat selama tiga minggu.

“Lokasi pertama serbuan adalah di sebuah premis rumah kedai di Jalan Tun Tan Siew Sin, seorang lelaki warga Bangladesh berumur 30 tahun ditahan ketika sedang memproses e-PLKS palsu melalui sebuah komputer peribadi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Zakaria berkata pihak JIM turut menemukan beberapa keping e-PLKS palsu yang telah dicetak dan beberapa naskhah pasport asing dalam milikan suspek.

Beliau berkata semakan mendapati suspek memiliki dokumen PLKS di sektor perkhidmatan yang masih sah hingga 16 April 2026.

"Modus operandi suspek ialah menawarkan e-PLKS kepada pelanggan dengan bayaran sebanyak RM50 sekeping, dan suspek memproses serta mencetak sendiri e-PLKS berkenaan. Suspek juga turut membuat pemalsuan salinan dokumen pendaftaran dan surat berkaitan perniagaan.

"Suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan ini hampir enam bulan, dan dipercayai telah mengaut keuntungan sekitar RM45,000 hingga RM50,000 sepanjang beroperasi," katanya.

Dalam serbuan kedua di sebuah premis yang terletak di Jalan Masjid India, Zakaria berkata pasukan operasi telah menahan tiga lelaki warga India yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, berumur antara 39 hingga 64 tahun.

Beliau berkata ketika ditahan, terdapat 498 pasport asing dari pelbagai negara, seperti Pakistan, India, Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka dan Nepal dalam milikan mereka.

"Ketiga-tiga mereka dipercayai bertindak sebagai ejen haram dan mereka menawarkan perkhidmatan percetakan slip e-PLKS palsu kepada warga asing, namun dipercayai mereka tiada kena-mengena dengan suspek dalam serbuan pertama," katanya.

Zakaria berkata dalam kedua-dua serbuan, pihaknya merampas 504 pasport asing pelbagai negara, empat komputer peribadi, empat mesin pencetak, 23 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), beberapa keping e-PLKS palsu, 40 keping i-Kad, serta wang tunai berjumlah RM94,332.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan itu akan disiasat di bawah subseksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan