Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
MOSCOW, 13 Mei (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia adalah yang pertama bagi pemimpin negara ke Persekutuan itu sejak hampir dua dekad.
Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai berkata kali terakhir pemimpin Malaysia mengadakan lawatan rasmi ke Rusia adalah pada Jun 2007 iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri kelima.
"Lawatan ini menjadi satu detik yang sangat bersejarah dan bermakna bagi pihak Rusia memandangkan ini merupakan lawatan rasmi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak menjadi Perdana Menteri.
"Lawatan rasmi yang berlangsung sebelum ini adalah hampir dua dekad lepas, jadi ia mengambil masa yang sangat panjang," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke Rusia bermula hari ini.
Beliau berkata lawatan itu akan berlangsung dalam dua segmen iaitu kunjungan ke Moscow bermula hari ini hingga Khamis sebelum ke Kazan di Tatarstan.
Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Cheong juga berkata sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 di sini petang ini (waktu tempatan), Perdana Menteri akan memeriksa barisan kawalan kehormatan sebelum mengadakan majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Rusia pada sebelah malam.
"Untuk hari kedua, Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama pemimpin-pemimpin industri di Rusia dan setakat ini, terdapat lebih 20 syarikat Rusia yang telah mendaftar untuk mengambil bahagian," katanya.
Delegasi Malaysia seterusnya akan ke Government House, atau dikenali sebagai The White House iaitu Pejabat Perdana Menteri Rusia, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Mikhail Mishutin dan antara isi perbincangan ialah kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan serta perdagangan.
Pada sebelah petang, Cheong berkata Perdana Menteri akan menghadiri mesyuarat bersama Presiden Vladimir Putin dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan potensi kerjasama Malaysia-Rusia dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian dan agrikomoditi, pendidikan, aeroangkasa serta tenaga.
"Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama," katanya.
Pada Khamis, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum di Institut Hubungan Antarabangsa Negara Moscow (MGIMO) dan dijadual menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada universiti tersebut atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.
Sementara itu di Kazan, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam pada Khamis.
Kemuncak lawatan Anwar ke Kazan ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum seterusnya dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno.
KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.
Pada 2024, Rusia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial