AM

Jalan, Lebuh Raya Baharu Perlu Ada Terowong Hidupan Liar - KKR

13/05/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya akan memastikan setiap jalan raya serta lebuh raya baharu selepas ini direka bentuk dan dibina dengan terowong hidupan liar bagi mewujudkan laluan selamat untuk haiwan berkenaan. 

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan mengambil contoh pembinaan terowong berkenaan oleh Lebuhraya Persisiran Barat (WCE) di jajaran Taiping Selatan-Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Syabas dan terima kasih kepada syarikat konsesi WCE yang melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuh raya untuk membolehkan habitat hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke hutan lain, melintasi lebuh raya dengan selamat," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, KKR memaklumkan kerjasama erat antara kementerian dengan Jabatan Perhilitan akan diteruskan bagi memastikan pemeliharaan hidupan liar sentiasa dipertingkatkan.

“Besar harapan kami supaya pemandu kenderaan memperlahankan kelajuan dan berhati-hati ketika melewati lokasi pintasan hidupan liar yang telah dikenal pasti melalui papan tanda dan lampu jalan,” menurut KKR.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya  akan menjalankan semakan semula terhadap semua kawasan berisiko tinggi lintasan hidupan liar di seluruh negara dalam masa terdekat.

Beliau berkata langkah itu termasuk mempertmbangkan penggunaan teknologi moden seperti sensor pergerakan haiwan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan pemantauan di lokasi terbabit.

"Saya menyeru semua pihak, termasuk pengguna jalan raya dan komuniti setempat untuk bersama-sama menjaga keselamatan dan kelestarian alam sekitar. Hidupan liar juga adalah sebahagian daripada khazanah negara yang tidak ternilai.

"Pembangunan mampan bukan sekadar membina jalan, tetapi memastikan kita tidak kehilangan warisan semula jadi dalam proses itu," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya sudah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu berkenaan, termasuk pembinaan laluan khas seperti eco-viaduct dan terowong bawah tanah di lokasi dikenal pasti sebagai laluan migrasi gajah serta haiwan liar lain.

Antara lokasi terbabit ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Central Spine Road (CSR), Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli jajaran Taiping Selatan-Bruas di Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial memaparkan seekor gajah betina cuba menolak sebuah lori selepas anaknya mati dilanggar dalam kemalangan di JRTB Gerik-Jeli pada sekitar pukul 2.50 pagi kelmarin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan