JENAYAH & MAHKAMAH

Anak Gajah Melintas Secara Tiba-tiba Sebelum Dilanggar Lori - Polis

11/05/2025 06:42 PM

IPOH, 11 Mei (Bernama) -- Anak gajah jantan yang ditemukan mati di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi tadi melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar lori kontena yang membawa muatan ayam. 

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden di Kilometer 80 JRTB itu pada 2.50 pagi. 

“Siasatan awal mendapati pemandu berusia 28 tahun itu pada mulanya melihat seekor gajah dewasa sedang makan rumput di bahu jalan sebelah kanan dan menyangka laluan itu selamat sebelum meneruskan perjalanan.

“Sampai di lokasi kejadian, seekor anak gajah secara tiba-tiba keluar dari hutan sebelah kiri. Akibat pelanggaran itu, ibu gajah yang melihat kejadian bertindak menyerang lori dipercayai kerana marah dan cuba melindungi anaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli menambah ibu kepada anak gajah itu bertindak agresif dengan menghentam bahagian hadapan lori berkenaan sehingga rosak.

“Bagaimanapun pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Polis telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Perak dan pasukan itu berjaya menenangkan gajah betina berkenaan dengan tembakan ubat pelali,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan