SUKAN

Piala Asia 2025: Malaysia Tewaskan Jepun, Ungguli Kumpulan B Acara Kuadran

11/05/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B dalam acara kuadran di kedudukan teratas selepas menewaskan Jepun pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu, Malaysia yang mempertaruhkan Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Fetri Mohd Azwadi diberikan tentangan sengit seawal permainan, sebelum bangkit mencuri mata kemenangan set pertama 17-15.

Umpanan Amirul Zazwan yang disambut dengan rejaman Muhammad Afifuddin pada mata akhir tidak mampu ditampan sempurna oleh pemain Jepun, sekali gus akur memberikan kemenangan mutlak 15-10 kepada Malaysia.

Kuadran negara yang dibimbing Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman akan beraksi dalam saingan separuh akhir esok dan pasukan lawan hanya diketahui sejurus perlawanan peringkat Kumpulan A, membabitkan Korea Selatan dan Vietnam berakhir malam ini.

“Ikutkan pada perlawanan berdepan China sebelum ini, sejujurnya memang masih tidak puas hati dan kita mula dapat rentak berdepan Filipina sebelum kita bawa momentum itu hingga ke hari ini.

“Esok tidak kisah siapa pun lawan kita, kami tetap bersedia,” kata Amirul Zazwan ketika ditemui pemberita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan