SUKAN

Muhammad Syafiq Menaruh Harapan Besar Kepada Dua Pelapis Negara

11/05/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Penerjun senior negara Muhammad Syafiq Puteh menganggap Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie sebagai pelapis berpotensi dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki pada masa hadapan.

Muhammad Syafiq berkata masa depan kedua-dua penerjun pelapis kebangsaan yang masing-masing berusia 19 tahun itu sangat cerah berdasarkan keupayaan yang dimiliki, sekali gus mampu meneruskan legasi negara dalam acara 3m papan anjal.

“Qayyum dan Rui Jie adalah pelapis yang sangat berbakat dan saya percaya mereka mampu naik podium suatu hari nanti.

“Saya juga berharap mereka dapat menggantikan tempat saya, seperti mana saya menggantikan tempat Ooi Tze Liang dan terus memantapkan lagi dalam acara ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat saingan Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan Kali Kedua di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pemenang pingat gangsa acara 3m papan anjal seirama lelaki pada Sukan Asia 2022 berusia 29 tahun itu kini menjadi tonggak utama acara 3m papan anjal lelaki negara, menggantikan Tze Liang yang beralih peranan sebagai jurulatih pelapis kebangsaan.

Pada aksi hari ini, Muhammad Syafiq mengungguli saingan 3m papan anjal lelaki selepas mengumpul 391.25 mata, menewaskan Nurqayyum Nazmi di tempat kedua dengan 390.70 mata, sementara Rui Jie ketiga (360.40 mata).

Dengan catatan mata yang dikutip, Muhammad Syafiq dan Nurqayyum Nazmi masing-masing melepasi skor kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan Persekutuan Renang Malaysia untuk penerjun senior iaitu 370 mata.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya mencapai MQS yang ditetapkan dan catatan 391.25 mata ini sangat bermakna sebagai penanda aras menjelang Kejohanan Dunia pada Julai ini,” kata Muhammad Syafiq.

Kejohanan Akuatik Dunia dijadual berlangsung di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos.

Sementara itu, dalam saingan 3m papan anjal wanita, Lee Yiat Qing tidak berdepan masalah untuk merangkul pingat emas selepas mengumpul 242.20 mata, mengatasi dua atlet pelapis Nur Ikmas Darwisyah Ikeram (186.20 mata) dan Cecelia Olivia (183.70 mata).

MQS adalah penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara pada kejohanan antarabangsa, dengan cara setiap atlet perlu melepasi had kelayakan minimum yang ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan