POLITIK

Hormati Hak Nurul Izzah Tanding Timbalan Presiden PKR - Rafizi

10/05/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Hak untuk bertanding pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025-2028 adalah milik setiap ahli, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata ini termasuk persaingan bagi mengisi jawatan nombor dua parti yang menyaksikan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menawarkan diri bertanding jawatan itu yang disandangnya ketika ini.

"Saya rasa Nurul Izzah ada cukup hujah kenapa dia perlu bertanding dan kita hormati itu. Masing-masing ada sumbangan kepada parti," katanya menerusi audio siar Yang Bakar Menteri (YBM) malam ini.

Menteri Ekonomi itu berkata apa yang dibimbangi beliau ialah ada pihak cuba menimbulkan polemik berkaitan perkara tersebut.

Proses pencalonan pemilihan parti itu, yang berakhir 11.59 malam tadi, menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dan Rafizi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandangnya iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula adalah calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang).

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan