SUKAN

Sepak Takraw Piala Asia 2025: Kuadran Malaysia Ke Separuh Akhir

10/05/2025 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Malaysia menempah tiket ke separuh akhir acara kuadran selepas menundukkan Filipina 2-1 pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman menduduki tangga kedua Kumpulan B dan akan berdepan Jepun bagi penentuan juara kumpulan, esok.

Terdahulu, skuad negara kekal dengan taruhan diletakkan kepada Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 15-6 pada set pertama.

Pada set kedua, Malaysia seakan hilang punca dengan tindakan Filipina yang tampil lebih garang untuk menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 17-16 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Rejaman terakhir Muhammad Shahalril mengesahkan kemenangan 15-8 skuad negara pada set penentuan.

Sementara itu, Mohammad Zulkarnain berkata beliau telah menjangkakan saingan sengit daripada pasukan Filipina di bawah bimbingan Gene Mark Saavedra.

“Kita bukan hilang punca tapi kita lihat kebangkitan dipamerkan Filipina. Jadi perlawanan kelihatan agak sengit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, Jepun menewaskan China, 15-9, 15-11 untuk menghuni kedudukan teratas Kumpulan B.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan