AM

Maritim Malaysia Terima Empat Helikopter AW189 Tahun Depan

09/05/2025 09:06 PM

PORT DICKSON, 9 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menerima empat helikopter jenis AugustaWestland AW189 medium lift secara berperingkat pada tahun depan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata perolehan dua kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) juga sedang dalam proses akhir.

“Kita juga akan menerima dua kapal peronda generasi baharu (NGPV) dan kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast yang dijangka tiba di Malaysia akhir tahun ini selepas proses pembaikan kecil dan penyesuaian kapal berkenaan di Baltimore, Amerika Syarikat selesai.

“Maritim Malaysia terus memperkukuh pengoperasiannya dengan perolehan beberapa kapal peronda luar pesisir (OPV) yang mampu memuatkan helikopter dan meningkatkan lagi keberadaan di laut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Op Redback 20 di sini hari ini.

Hadir sama Kaunselor Pasukan Sempadan Australia (ABF) di Suruhanjaya Tinggi Australia Supt Brooke Leung dan Pemangku Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Komander Maritim Norrimi Hassan.

Mohd Zawawi berkata perancangan pemodenan aset agensi itu merupakan antara teras utama Pelan Strategik 2023-2033 selaras perkembangan teknologi semasa dan pelan penggantian aset dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.

Sementara itu, beliau berkata Maritim Malaysia menahan 17 pendatang tanpa izin di seluruh negara sepanjang tempoh empat bulan sejak Januari yang terdiri daripada lapan warga Indonesia dan sembilan Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 60-an.

Mohd Zawawi berkata kesemua mereka didapati cuba masuk dan keluar melalui laluan tikus termasuk di Pengkalan Balak, Melaka serta Sepang, Selangor dan Hutan Melintang, Perak.

“Bagi tempoh sama, terdapat 16 tangkapan di seluruh negara bagi kes penyeludupan barangan kawalan terutama di perairan Sabah manakala 17 lagi ditahan membabitkan kes kontraban termasuk rokok dan minuman keras dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM9.2 juta," katanya.

Mengenai Op Redback 20, beliau berkata usaha membanteras jenayah rentas sempadan maritim terus diperkasa menerusi operasi itu dengan kerjasama strategik Maritim Malaysia dan ABF di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Mohd Zawawi berkata sepanjang operasi yang bermula 5 Mei hingga hari ini, sebanyak 122 pemeriksaan dilakukan melibatkan kapal dagang, vesel nelayan tempatan, bot penumpang dan bot tunda di kawasan seluas 2,860 kilometer persegi bermula dari Kuala Sepang, Selangor hingga ke Kuala Kesang, Johor.

“Operasi ini bukan sekadar kerjasama dua hala malah bukti komitmen berterusan kita dalam membanteras jenayah seperti penyeludupan, kegiatan haram, perikanan tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU) dan penyeludupan migran yang mengancam keselamatan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata operasi tahunan yang bermula sejak 2012 menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Australia itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan serta keberkesanan penguatkuasaan undang-undang maritim antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan