MARANG, 9 Mei (Bernama) -- Musim Candat Sotong Terengganu 2025 yang dilancarkan hari ini dimeriahkan dengan penglibatan julung kalinya 50 peserta luar negara termasuk pempengaruh media sosial dan wakil agensi media antaranya dari Chile, Perancis, Thailand dan Filipina.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata penyertaan mereka bukan sahaja membantu mempromosikan industri pelancongan Terengganu, malah merancakkan lagi agenda promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata program tahun ini bertemakan 'Pakat Maghi Candat Sotong 2025' telah menarik minat ramai untuk merasai keunikan pengalaman aktiviti berkenaan yang merupakan ikon pelancongan negeri dan telah diiktiraf dalam kalendar pelancongan TMM2026.
“Mencandat sotong bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi simbol warisan budaya masyarakat laut Terengganu," katanya pada majlis perasmian Musim Candat Sotong 2025 di Jeti Pelancongan Marang di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor.
Razali berkata dijangkakan sebanyak 3,000 buah bot yang membawa seramai 30,000 pelancong akan membanjiri perairan Terengganu tahun ini untuk aktiviti mencandat sotong yang bermula April lepas hingga Ogos ini.
"Ia akan memberi pulangan atau janaan ekonomi lebih RM7.5 juta kepada pengusaha bot, hotel, pengusaha inap desa dan peniaga. Oleh itu, program mencandat sotong kekal sebagai komponen utama dalam kalendar promosi pelancongan Terengganu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial