PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh komitmen dalam memperjuangkan integriti dan tadbir urus baik di peringkat global pada Forum Integriti Antarabangsa Saudi-Maldives 2025 di Villa Nautica, Maldives pada 6 dan 7 Mei lepas.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi Malaysia ke forum itu diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya bersama wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam sesi High-Level Speakers, Ahmad Khusairi menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan integriti dalam sektor pelancongan serta memperincikan cabaran dan langkah penyelesaian yang telah dan sedang dilaksanakan Malaysia.
“Ini termasuk pelaksanaan sistem pendaftaran pelancong dalam talian, penggunaan sistem pengurusan pekerja asing berpusat, pemasangan Autogate di lapangan terbang serta pengenalan Dasar Pelancongan Negara dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS),” menurut kenyataan itu.
Ahmad Khusairi turut menyentuh isu-isu kritikal seperti penyalahgunaan visa pelancong untuk tujuan pemerdagangan manusia, penipuan dalam perkhidmatan pelancongan dalam talian, pemberian rasuah dalam proses kelulusan visa serta kerjasama tidak sah antara ejen pelancongan dan penguat kuasa.
Forum bertemakan “Strengthening Integrity and Combating Corruption in the Tourism Sector” itu disertai lebih 190 delegasi daripada lebih 50 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk wakil kerajaan, sektor swasta, pertubuhan antarabangsa dan persatuan.
SPRM memaklumkan delegasinya turut mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pertubuhan antirasuah antarabangsa antaranya daripada Afrika Selatan, Azerbaijan dan Maldives.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama strategik rentas sempadan khususnya berkaitan perkongsian maklumat, pengalaman siasatan dan peluang kerjasama teknikal dalam bidang pencegahan serta penguatkuasaan antirasuah,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial