POLITIK

Hajiji Bertemu Presiden Parti-parti Komponen GRS, Tegaskan Semuanya Baik

07/05/2025 10:46 PM

KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan semuanya dalam keadaan baik bagi gabungan itu, susulan satu pertemuan yang produktif bersama semua presiden parti komponen GRS hari ini.

Pertemuan selama tiga jam yang diadakan di Sri Gaya di sini menyaksikan Ketua Menteri Sabah itu mengadakan perbincangan yang disifatkannya sebagai mesra dan membina bersama pemimpin-pemimpin parti, yang secara kolektif menyatakan komitmen mereka terhadap GRS.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata kepimpinan gabungan itu sebulat suara menyatakan iltizam untuk memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Saya menghargai pandangan dan pendapat mereka. Kesemua mereka merupakan pemimpin politik yang matang dan memahami pentingnya GRS sebagai satu gabungan yang bersatu menjelang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mesyuarat itu dihadiri Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut hadir Presiden Parti Cinta Sabah Tan Sri Anifah Aman, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan