EKONOMI

Pemegang Unit Pavilion REIT Beri Kelulusan Beli Aset Hospitaliti RM480 Juta

07/05/2025 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mendapat kelulusan kalangan pemegang unit untuk membeli dua aset hospitaliti utama, Banyan Tree Kuala Lumpur (BTKL) dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur (PHKL) pada RM480 juta.

Pembelian itu akan memperkukuh prestasi jangka masa panjang dan kehadiran Pavilion REIT di Bukit Bintang.

Resolusi itu, yang diluluskan hari ini pada mesyuarat pemegang unit, membolehkan MTrustee Bhd, yang mewakili Pavilion REIT, meneruskan pembelian itu daripada Lumayan Indah Sdn Bhd dan Harmoni Perkasa Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd Datuk Philip Ho berkata hotel itu amat sinergi dengan pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur dan Elite Pavilion, sekali gus akan meningkatkan pengalaman pengunjung dan tetamu hotel.

“Pavilion REIT kekal fokus untuk memiliki dan mengendalikan aset diterajui peruncitan yang berprestasi tinggi, terutama pembangunan mega dan bersepadu. Pembelian ini memberikan peluang yang sejajar nilai dalam jejak Pavilion REIT sedia ada di Bukit Bintang, menyumbang kepada kerancakan keseluruhan kawasan itu di samping meningkatkan daya tahan pendapatan dan prospek pertumbuhan Pavilion REIT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua hartanah itu merupakan hotel bertaraf lima bintang yang diuruskan oleh Banyan Tree Hotels & Resorts Pte Ltd dan secara konsisten mencapai kadar penghunian purata 82.1 peratus (BTKL) dan 81.5 peratus (PHKL) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

BTKL, yang terletak dalam bangunan bersepadu 59 tingkat, menawarkan 55 bilik yang serba lengkap, Banyan Tree Spa dan bar di bahagian atas bumbung.

PHKL, yang terletak di atas pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, terdiri daripada 325 bilik yang serba lengkap dengan kemudahan mesyuarat dan acara yang komprehensif.

Pavilion REIT menjelaskan pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan hutang dan atau ekuiti, termasuk terbitan sehingga 172.4 juta unit baharu kepada vendor dan atau penama mereka dan tawaran persendirian sehingga 386.0 juta unit baharu untuk mengumpul antara RM264 juta hingga RM552 juta.

Mengikut struktur urus niaga itu, hotel tersebut akan disewakan kepada Harmoni Perkasa Sdn Bhd untuk tempoh awal 10 tahun dengan pilihan pembaharuan sehingga 20 tahun.

“Pajakan ini menjamin sewa tahunan tetap berjumlah RM33.5 juta bagi lima tahun pertama, yang mencerminkan hasil kasar sekitar 7.0 peratus. Peningkatan kadar sewa dan komponen berubah berkaitan dengan prestasi hotel menawarkan potensi pulangan tambahan.

“Selepas pembelian itu, hotel ini akan merangkumi kira-kira 5.5 peratus daripada jumlah aset di bawah pengurusan Pavilion REIT yang telah diperbesarkan, manakala bahagian pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur dalam portfolio akan berkurangan daripada 61.8 peratus kepada 58.5 peratus,” tambah Pavilion REIT.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan