DUNIA

AMRI Ke-17 Sokong Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penggunaan Media Sosial Yang Selamat

07/05/2025 08:20 PM

Daripada Aisha Hani Nor Azmir

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei (Bernama) -- Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan, berakhir dengan sokongan kukuh terhadap “Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Selamat dan Bertanggungjawab Platform Media Sosial untuk ASEAN”.

Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada akhir persidangan, ASEAN mengulangi komitmen kolektifnya untuk memupuk persekitaran digital yang selamat, inklusif dan bertanggungjawab di seluruh rantau ini.

“Mesyuarat ini menegaskan semula kepentingan mempromosikan Komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan berteraskan rakyat dengan menangani cabaran yang timbul akibat penyalahgunaan media sosial, termasuk penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian dan eksploitasi dalam talian,” menurut kenyataan bersama itu.

Para menteri turut menekankan peranan penting sektor maklumat ASEAN dalam menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama, termasuk platform media sosial, untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah praktikal dalam menangani kandungan berbahaya dalam talian sambil memelihara kebebasan bersuara.

Mesyuarat itu turut mengiktiraf pembangunan berterusan “Garis Panduan untuk Penggunaan Selamat dan Bertanggungjawab Platform Media Sosial untuk ASEAN”, yang bertujuan menyediakan strategi pragmatik bagi meningkatkan keselamatan dalam talian dan mempromosikan kesejahteraan siber dalam kalangan negara anggota.

Menurut kenyataan bersama itu, AMRI juga menyokong "Deklarasi Bandar Seri Begawan untuk Mengesahkan Semula Komitmen Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat untuk Kemajuan Strategik dalam Media dan Informasi".

Deklarasi ini menekankan komitmen berterusan AMRI untuk mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan peranan sektor media dan maklumat dalam Komuniti ASEAN selepas 2025.

"Selain itu, mesyuarat itu mengimbas kembali objektif asas AMRI sejak penubuhannya pada 1989, mengiktiraf sumbangan penting sektor ini kepada pembangunan ASEAN dan peranannya yang meluas dalam menyokong keutamaan serantau yang merentas pelbagai bidang,” katanya.

Deklarasi ini juga menetapkan arah strategik untuk meningkatkan kapasiti sektor ini dalam menghadapi cabaran era digital, terutamanya dalam memerangi maklumat yang salah, mengurus kesan transformasi digital, memperkasakan golongan belia sebagai pemacu utama inovasi dalam media dan komunikasi, serta untuk mempromosikan ekonomi kreatif di seluruh rantau ini.

Di samping itu, AMRI memuji kemajuan substantif dalam pelaksanaan Pelan Strategik ASEAN untuk Maklumat dan Media (2016-2025), mengiktirafnya sebagai batu asas untuk kerjasama serantau, meningkatkan kesedaran awam tentang ASEAN dan mempromosikan identiti serta daya tahan serantau.

AMRI turut mengiktiraf perkembangan berterusan Rancangan Kerja bagi Maklumat dan Media (2026-2035), iaitu pelan hala tuju pengganti yang direka untuk menangani kerumitan dalam landskap media yang berkembang pesat.

“Rancangan Kerja baharu ini dijangka memperkukuh keupayaan ASEAN untuk bertindak balas terhadap trend semasa, termasuk transformasi digital yang pesat, inovasi teknologi, maklumat palsu dan permintaan meningkat terhadap kandungan media yang inklusif dan mudah diakses, seiring dengan peralihan ASEAN ke arah Visi Pasca-2025,” menurut kenyataan bersama itu.

Menteri-menteri turut mengiktiraf pelaksanaan berterusan Pelan Induk Komunikasi ASEAN (ACMP) II (2018-2025), yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran serantau dan memupuk semangat identiti ASEAN dalam kalangan rakyatnya.

Berdasarkan pencapaian ini, AMRI turut mengambil kira usaha berterusan membangunkan ACMP III (2026-2030), yang bertujuan untuk meneruskan kejayaan sedia ada serta membimbing komunikasi strategik bagi inisiatif pembinaan komuniti ASEAN pada masa hadapan. 

Dalam menangani cabaran meluas berkaitan maklumat palsu, AMRI juga mengiktiraf peranan Pasukan Petugas ASEAN bagi Berita Palsu (TFFN) dan menekankan keperluan bagi pengawalseliaan kandungan yang lebih kukuh, peningkatan kawal selia kendiri, serta kerjasama lebih erat dengan platform digital untuk memperhalusi garis panduan dan menyelaraskan dasar di seluruh rantau ini.

AMRI menggesa TFFN dan tiga Kumpulan Kerja ASEAN (WGs) untuk terus menyelaraskan usaha mereka dengan Wawasan Komuniti ASEAN selepas 2025, sambil menekankan keperluan untuk kekal responsif terhadap perubahan trend seperti transformasi digital, inovasi teknologi dan corak penggunaan media yang semakin berubah.

Mesyuarat itu turut mengiktiraf peranan penting Jawatankuasa mengenai Kebudayaan dan Maklumat (COCI) ASEAN dalam memupuk kesedaran mengenai ASEAN dan hubungan rakyat dengan rakyat melalui inisiatif budaya serta media.

Projek-projek semasa yang dijalankan oleh COCI dipuji kerana melengkapi usaha AMRI dan Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI), khususnya dalam mengukuhkan keupayaan media dan memajukan keterangkuman sosial, inovasi dan daya tahan serantau.

Untuk masa hadapan, AMRI menekankan kepentingan untuk menyelaraskan usaha masa depan COCI dengan Wawasan Komuniti ASEAN selepas 2025 bagi memastikan sokongan berterusan terhadap kerjasama merentas sektor dan pembangunan mampan dalam landskap media dan maklumat.

Mesyuarat itu turut meneliti kerjasama ASEAN dalam sektor maklumat dan media, dengan mengambil maklum kejayaan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN Campur Tiga (2018-2025) dan menyatakan antisipasi terhadap pelan pengganti yang akan menangani cabaran inovasi digital dan media.

Kemajuan yang ketara turut diakui dalam kerjasama media ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea, di samping peningkatan penglibatan dengan rakan baharu seperti Norway, Pakistan dan Turkiye yang menunjukkan peluasan kerjasama media antarabangsa di rantau ini.

Kenyataan bersama itu turut mengesahkan bahawa AMRI ke-18 dan mesyuarat berkaitan akan diadakan di Kemboja pada 2027.

AMRI ke-17 dan Persidangan AMRI Campur Tiga ke-8 berakhir hari ini selepas berlangsungnya Mesyuarat SOMRI ke-22 dan sesi libat urusnya bersama negara-negara Campur Tiga serta Jepun dari 5 hingga 6 Mei.

Semua negara anggota ASEAN serta Timor-Leste, China, Jepun, Republik Korea dan Sekretariat ASEAN telah mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan.

Delegasi Malaysia ke AMRI diketuai oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching manakala Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa mewakili Malaysia dalam mesyuarat SOMRI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan