AM

i-CATS Kukuhkan Jalinan Strategik Bersama 19 Industri Dan 22 Institusi TVET Di Sarawak

07/05/2025 02:14 PM

KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Kolej Universiti i-CATS hari ini mengadakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Kerjasama dengan 19 syarikat industri serta 22 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuh jaringan strategik ke arah pembangunan tenaga kerja di Sarawak.

Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee.

Dalam ucapannya, Dr Annuar menegaskan bahawa golongan akademik dan sektor industri memainkan peranan penting dalam merealisasikan dasar kerajaan negeri.

“Tanpa keselarasan visi antara golongan akademik dan dasar kerajaan, serta tanpa sokongan aktif daripada sektor industri, segala dasar yang dirangka tidak akan dapat dicapai dalam tempoh yang dihasratkan.

“Oleh itu, majlis hari ini merupakan detik penting dalam usaha kita memastikan Sarawak bergerak ke arah menjadi negeri maju bebas karbon serta sebuah wilayah berteknologi hijau,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata pertukaran Surat Hasrat dengan 22 institusi TVET mencerminkan komitmen kolej universiti itu terhadap pembangunan satu sistem rantaian yang menyokong mobiliti akademik dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Menerusi inisiatif ini, pelajar lepasan politeknik, kolej vokasional, kolej komuniti dan kolej-kolej teknikal akan mempunyai laluan terus untuk melanjutkan pengajian ke program diploma dan ijazah sarjana muda di i-CATS.

“Kami akan giat mempromosikan program-program akademik berasaskan teknologi serta menyediakan laluan akademik yang jelas untuk pelajar menyambung pengajian sehingga ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). 

“Kerjasama ini merapatkan jurang antara latihan teknikal dan pendidikan tinggi, sekali gus menawarkan masa depan yang lebih mudah diakses, mampu dimiliki dan boleh dicapai untuk pelajar-pelajar di seluruh Sarawak,” katanya.

Mohamad Kadim berkata kolej Universiti i-CATS kini juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi mencapai status university penuh pada 2026.

“Antara langkah utama yang diambil termasuklah pembangunan fakulti baharu seperti Fakulti Peralihan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa serta penubuhan i-CATS Digital Business School,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan