AM

Jangan Lepaskan Ikan Asing Di Perairan Umum - Jabatan Perikanan

07/05/2025 01:40 PM

SEREMBAN, 7 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Sembilan mengingatkan kepada masyarakat untuk tidak melepaskan ikan di perairan umum tanpa merujuk kepada jabatan itu.

Pengarahnya Kasim Tawe berkata pihaknya menerima aduan mengenai beberapa individu daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), melepaskan ikan di laluan sungai berdekatan Jalan Lee Sam di sini pada 2 Mei.

Beliau berkata hasil semakan mendapati, ikan dilepaskan oleh individu tersebut adalah ikan asing jenis Keli Afrika, yang dianggap boleh mengancam ikan tempatan dan ekosistem di parit, sekali gus sungai yang mengalir di situ.

“Sebaik sahaja aduan diterima, pasukan saya pergi ke lokasi bersama wakil NGO mendapati terdapat lebih kurang 50 ikan asing di situ, yang airnya mengalir ke Sungai Linggi.

“Kita telah maklumkan kepada semua bahawa ikan Keli Afrika adalah ikan asing, yang tidak sepatutnya dilepaskan diperairan umum kerana ia boleh mengancam hidupan ikan lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan kualiti air di kawasan tersebut hanya dua ekor ikan sahaja yang didapati sesuai hidup di situ iaitu ikan puyu atau ikan haruan.

Kassim berkata orang ramai yang ingin melepaskan ikan di mana-mana perairan umum, perlu merujuk di laman web Jabatan Perikanan untuk mengetahui lanjut jenis ikan yang dibenarkan dan dilarang untuk dilepaskan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar berkata Majlis Bandaraya Seremban ( MBS ) diarahkan untuk menutup segera kawasan tersebut sementara waktu.

“Masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan ikan asing dan bina struktur untuk lepaskan ikan di perairan awam tanpa kebenaran. Meskipun idea itu baik, namun ini adalah kawasan awam dan perlu ikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan sekumpulan NGO melepaskan ikan asing ke dalam sungai menerusi struktur saluran yang dibina khas ke saliran sungai di Jalan Lee Sam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan