AM

Penyakit Diabetes, Masalah Kesihatan Mental Di Kelantan Semakin Membimbangkan - Dr Zaini

06/05/2025 06:55 PM

TANAH MERAH, 6 Mei (Bernama) -- Penyakit diabetes dan masalah kesihatan mental di Kelantan khususnya dalam golongan muda semakin membimbangkan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati, kadar penyakit diabetes di Kelantan berusia 18 tahun ke atas meningkat daripada 18.5 peratus pada tahun 2015 kepada 19.5 peratus pada tahun 2019, dan menurun kepada 16.3 peratus pada tahun 2023. 

“Bagaimanapun ia (penyakit diabetes) masih pada kadar yang membimbangkan iaitu seorang dalam 12 penduduk didapati mengalami diabetes. Tinjauan ini juga mendapati sebanyak seorang daripada 16 penduduk baru mengetahui status diabetes mereka.

“Antara faktor risiko diabetes ialah kegemukan dan obesiti apabila kadar berlebihan berat badan dan obesiti pada tahun 2023 di Kelantan ialah 28.2 peratus (tiga dalam 10 penduduk) dan 23.4 peratus (dua dalam 10 penduduk),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ziarah Kasih di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Gading, di sini hari ini.

Dr Zaini berkata penyakit diabetes boleh dicegah dengan amalan gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan aktiviti fizikal, mengekalkan berat badan unggul dan mengamalkan pemakanan seimbang.  

Beliau berkata bagi masalah kesihatan mental di Kelantan berdasarkan tinjauan sama mendapati, tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan trend, iaitu prevalen idea bunuh diri ialah 6.4 peratus pada tahun 2017 berbanding 4.6 peratus pada tahun 2012.

“Kajian yang sama juga mendapati prevalen kemurungan ialah 16 peratus, yang hampir dua daripada 13 remaja mengalami gejala kemurungan.

“Masalah kesihatan mental boleh melanda sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau latar belakang individu. Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menjaga, merawat dan menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan