AM

Malaysia Harap Jalin Kerjasama Kewangan Hijau Dengan Hong Kong Untuk Pemuliharaan Hutan

06/05/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia Forest Fund (MFF) melihat peluang besar dalam memanfaatkan bon hijau dan pembiayaan hijau yang ditawarkan oleh Hong Kong bagi memperkukuh usaha pemuliharaan hutan serta pembangunan pasaran karbon di Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif MFF Datuk Shah Redza Hussein berkata Malaysia turut memberi perhatian kepada inisiatif kewangan hijau yang sejajar dengan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Hong Kong. 

“MFF memainkan peranan penting dalam kewangan lestari antaranya dengan menggerakkan dana pemuliharaan hutan melalui instrumen-instrumen inovatif termasuk kredit karbon.

“Malaysia sedang membangunkan piawaian nasional bagi Forest Carbon Offset (FCO) untuk memastikan ketelusan dan kredibiliti dalam pelaburan ESG sejajar dengan langkah Hong Kong dalam memperkukuh pelaporan kemampanan korporat dan pembiayaan lestari,” menurutnya dalam kenyataan sempena persidangan ESG Xchange 2025 di Hong Kong hari ini.

MFF ialah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang dilantik sebagai National Focal Point bagi urusan berkaitan Artikel 6.8 Perjanjian Paris. 

Menurut Shah Redza, Malaysia boleh memanfaatkan Skim Geran Kewangan Hijau dan Lestari yang dilancarkan di Hong Kong pada April lepas dan sejak itu, telah menyokong lebih 560 instrumen dengan jumlah terbitan bernilai HK$1.2 trilion.

Beliau berkata ini memberikan peluang kepada Malaysia untuk menerbitkan bon hijau yang disokong oleh projek pemuliharaan hutan dan kredit karbon Malaysia sekali gus menarik lebih banyak pelaburan ESG ke negara ini.

Selain itu, Shah Redza berkata Hong Kong telah membangunkan platform perdagangan karbon seperti Core Climate oleh Hong Kong Exchange yang boleh menjadi saluran bagi Malaysia untuk menjual kredit karbon yang dihasilkan melalui projek pemuliharaan hutan.

“Dengan inisiatif ini, Malaysia boleh memastikan ketelusan dan kredibiliti dalam transaksi karbon sekali gus menjadikan ia lebih menarik kepada pelabur global,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada Hong Kong dalam membangunkan ekosistem fintech hijau untuk menyokong inovasi dalam pembiayaan hijau.

Shah Redza berkata Hong Kong telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Bukti-Konsep Fintech Hijau dan Lestari yang menyokong projek teknologi kewangan hijau. 

Beliau berkata MFF juga boleh bekerjasama dengan institusi kewangan dan penyelidikan untuk membangunkan penyelesaian kewangan inovatif yang menyokong pemuliharaan hutan serta perdagangan karbon.

Kerjasama Malaysia dan Hong Kong dalam kewangan hijau bukan sahaja akan memperkukuh usaha pemuliharaan hutan tetapi juga meningkatkan daya saing negara dalam pasaran karbon global, katanya.

Menerusi pelbagai langkah yang diambil, Shah Redza berkata MFF dapat mempercepat pelaksanaan inisiatif hijau dan memastikan Malaysia terus memainkan peranan utama dalam usaha global menangani perubahan iklim.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian bagi Perkhidmatan Kewangan dan Perbendaharaan Hong Kong Joseph H.L. Chan dalam ucapan pembukaan di persidangan tersebut berkata isu iklim dan kemampanan adalah keperluan mendesak yang memerlukan tindakan segera.

Beliau turut menegaskan bahawa Hong Kong komited untuk menjadi pusat kewangan hijau utama di Asia dengan membangunkan pelbagai mekanisme kewangan untuk menyokong inisiatif ESG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan