EKONOMI

Kepimpinan Anwar, Kerajaan MADANI Dipuji Berkaitan Isu Tarif AS - Nazir Razak

06/05/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan-ASEAN (ASEAN-BAC) memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat (AS) dengan cara yang tenang dan seimbang serta melindungi kepentingan negara.

Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Nazir Razak berkata selain bijak dalam menangani isu yang rumit itu, kerajaan turut melibatkan Washington untuk memahami perkara retorik dan realiti di pihak AS.

Selain itu, beliau berkata “Malaysia kemudian kembali merancang strategi, yang kita lakukan kini, dan mungkin meneliti kembali dan berunding.”

“Itulah cara tepat untuk menangani situasi ini, berbeza dengan cara (konfrontasi) yang digunakan oleh banyak negara lain, yang bertindak terlalu cepat, atau terlalu agresif,” katanya pada sidang media mengenai inisiatif ASEAN-BAC Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permintaan AS agar Malaysia mengurangkan halangan bukan tarif seperti pensijilan halal.

Mengenai halangan bukan tarif serta sama ada Malaysia dan kerajaan negara Asia Tenggara lain mempunyai keazaman politik untuk memansuhkannya, Nazir berkata halangan iu merupakan masalah yang melibatkan seluruh negara anggota ASEAN.

“Terdapat hubung kait yang rapat antara pengurangan tarif dan peningkatan halangan bukan tarif, dan pada kiraan terakhir, terdapat kira-kira 9,642 halangan bukan tarif di seluruh ASEAN,” katanya.

Beliau berkata antara kesukaran yang dihadapi ASEAN adalah ketiadaan mekanisme penguatkuasaan yang jelas untuk mengurangkan halangan itu.

“Sektor swasta banyak menyuarakan kekecewaan berkaitan halangan bukan tarif.

“Memandangkan kita berunding dengan AS, mungkin ini adalah peluang untuk kita mengkaji semula halangan yang dibangkitkan oleh kalangan perniagaan,” katanya.

Nazir berkata terdapat sistem yang dipanggil “ASEAN Assist”, membolehkan syarikat melayari laman web itu secara dalam talian dan menyenaraikan halangan bukan tarif yang sepatutnya tiada, tetapi dilaksanakan oleh negara.

Beliau berkata bagaimanapun, kadar penggunaannya sangat rendah kerana wujud persepsi bahawa tiada tindakan yang boleh dilakukan mengenai perkara itu.

Oleh yang demikian, isu halangan bukan tarif merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan oleh ASEAN, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan