AM

Festival Permai 2025 Platform Perkenal Produk Pertanian Perlis

04/05/2025 12:29 PM

KANGAR, 4 Mei (Bernama) -- Festival Perlis Mango and Agricultural Industry (PERMAI) 2025 menjadi platform memperkenalkan produk pertanian keluaran negeri ini dengan lebih meluas selain memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah ia juga menjadi ruang kepada peladang, penternak dan nelayan negeri ini mempamerkan hasil produk mereka serta berkongsi pengetahuan mengenai amalan terbaik dalam industri masing-masing.

“Program PERMAI diadakan sebagai satu pengiktirafan dan platform pemasaran produk pertanian oleh komuniti petani di Perlis untuk dikomersialkan dalam skala yang lebih besar,” titah baginda ketika menyempurnakan festival berkenaan di sini malam tadi.

Festival PERMAI 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, dijenamakan semula iaitu gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dan Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda amat berbangga apabila dimaklumkan industri harum manis berkembang pesat melibatkan lebih 2,600 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar hingga kini.

“Pencapaian ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, tetapi juga memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik,” titah baginda.

Sementara itu, Raja Perlis bertitah petani, penternak dan usahawan tani kini wajar menguasai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian seperti menggunakan pembelajaran mesin untuk pemantauan kesihatan tanaman dan penyemburan pintar bagi meningkatkan hasil serta kualiti produk.

“Saya yakin usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkasakan sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, memacu ekonomi, mencipta pekerjaan dan memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan