AM

PBT Disaran Kreatif Bantu Rancakkan Perniagaan Penjaja MyKiosk - Exco

03/05/2025 08:39 PM

KULAI, 3 Mei (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor disarankan supaya kreatif dalam membantu merancakkan aktiviti perniagaan penjaja MyKiosk, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata PBT antaranya boleh membenarkan dua peniaga beroperasi dalam satu unit MyKiosk selain pemilihan lokasi yang bersesuaian.

"Kalau ada peniaga yang dua atau tiga bulan tidak boleh meniaga, beri peluang kepada penjaja lain. PBT juga boleh meletakkan dua operasi perniagaan, contohnya penjaja yang berbeza berniaga pada waktu pagi dan malam di MyKiosk.

"Selain memberikan peluang kepada peniaga baharu, pemilihan peniaga yang berpengalaman dan mempunyai pelanggan tetap juga dilihat dapat memastikan kelangsungan perniagaan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kerjaya Kulai di sini hari ini.

Secara keseluruhan, Mohd Jafni berkata terdapat sebanyak 1,175 gerai penjaja MyKiosk di 16 PBT di Johor.

MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan.

la bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat dengan memberi manfaat kepada para peniaga melalui pemberian kadar sewaan kios yang rendah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan