AM

DOF Rancang Bangun Kompleks Tukun Di Pantai Timur Semenanjung

03/05/2025 08:21 PM

KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merancang untuk membangunkan kompleks tukun di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung berikutan aktiviti pencerobohan serta sumber perikanan yang merosot.  

Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata pelan berkenaan yang melibatkan Kelantan, Pahang dan Terengganu menjadi antara usaha jabatan itu untuk meningkatkan hasil perikanan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. 

“Sebelum ini, kita letak tukun secara scattered (berselerak) di sepanjang perairan, jadi di bawah pendekatan baharu, kita cadang untuk letak di satu lokasi dan di situ kita akan tambah supaya boleh memberi impak lebih baik berbanding letak satu unit di setiap tempat.

“Kita nak cuba mewujudkan kompleks tukun itu dan sasaran kita dalam tempoh lima tahun akan datang. Bagaimanapun, kita tidak akan meninggalkan wilayah Sarawak untuk inisiatif ini,” katanya dalam sidang media selepas Program Rasa-rasa Akuakultur dan Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP), myKomuniti Perikanan (myKP) di sini hari ini. 

Pada 8 Feb lepas, Bernama melaporkan DOF giat menjalankan pelbagai program pemuliharaan, terutama di kawasan berstatus sensitif bagi memastikan kemampanan stok ikan negara terjamin. 

Dalam pada itu, Adnan berkata peruntukan bagi pembangunan kompleks tukun itu, antara cadangan yang akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada minggu hadapan menjelang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertujuan merancakkan aktiviti akuakultur di seluruh negara. 

Beliau berkata pihaknya sering mendapat permohonan untuk melaksanakan program perikanan daripada kerajaan negeri, khususnya berkaitan pembinaan tukun tiruan di perairan. 

“Kita mengharapkan supaya mendapat satu angka yang besar supaya kita boleh mengagihkan peruntukan ini secara adil kepada setiap negeri … sekarang ini dengan bajet sangat terhad, kita tidak boleh memenuhi permintaan semua negeri. 

“Kita percaya program tukun ini akan dapat ditingkatkan dan semua negeri akan dapat manfaat, kita boleh laksanakan setiap tahun malah ramai nelayan yang memohon untuk membangunkan tukun di kawasan mereka,” katanya sambil menambah setakat ini sebanyak 202,004 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Sarawak sejak 1984. 

Terdahulu, dalam ucapannya beliau memaklumkan Sarawak menjadi antara penyumbang terbesar pengeluaran akuakultur negara, menyaksikan kira-kira 11,000 tan metrik penghasilan berbanding keseluruhan 510,000 tan matrik seluruh negara pada tahun lepas. 

Beliau menyeru lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi bidang penternakan akuakultur dan menjadi usahawan perikanan menerusi program yang ditawarkan DOF.

Sehingga 2024, sejumlah RM6.66 juta disalurkan kepada penternak akuakultur di Sarawak melalui Skim Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) manakala sejumlah RM958,000 diagihkan kepada 10 peserta sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan komuniti bagi tahun ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan