AM

KKM Rampas 21,571 Produk Kesihatan Tidak Sah Bernilai RM37.5 Juta Tahun Lepas

03/05/2025 07:49 PM

KUALA SELANGOR, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) merampas sebanyak 21,571 produk kesihatan tidak sah dengan nilai mencecah RM37.5 juta tahun lepas. 

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah berkenaan meningkat hampir lapan peratus berbanding 2023 iaitu sebanyak 20,157 produk kesihatan bernilai RM24.8 juta.

Beliau berkata kategori produk tidak berdaftar itu termasuk suplemen, yang merupakan produk tertinggi dirampas sepanjang tahun lepas yang membabitkan sebanyak 17,630 manakala 3,941 lagi adalah kosmetik tidak bernotifikasi KKM.

“Keadaan itu jelas menunjukkan peningkatan membimbangkan, namun pihak berkuasa sedang bersungguh-sungguh menanganinya ketika ini,” katanya selepas merasmikan program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata hampir 70 peratus rampasan produk berkenaan dilakukan berdasarkan aduan penjualan ubat dalam talian.  

Beliau berkata pengambilan ubatan tidak sah boleh mendatangkan risiko kerosakan organ utama seperti hati, buah pinggang dan sistem saraf dalam jangka masa panjang.

Lima kategori ubatan tidak sah itu meliputi ubat tiruan, tidak berdaftar dengan KKM, dicampur bahan atau racun terlarang, diperoleh daripada sumber tidak sah dan diimport tanpa kelulusan kementerian.

Susulan itu, Dzulkefly menyeru orang ramai sentiasa menyemak kesahihan produk kesihatan sebelum membuat pembelian terutama secara dalam talian.

"Kita perlu memastikan setiap produk mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ dan pelekat keselamatan Hologram Farma Tag. Semakan boleh dibuat menerusi laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara di www.npra.gov.my atau aplikasi FarmaChecker,” katanya.

Dzulkefly berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan produk kesihatan meragukan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di 03-78413200.  

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan