AM

Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025, Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 Berkuat Kuasa 1 Mei

02/05/2025 01:05 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 berkuat kuasa bermula pada 1 Mei 2025, kecuali Bahagian IVA iaitu peruntukan khas berkaitan standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

KESUMA dalam kenyataan berkata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong telah menetapkan tarikh tersebut sebagai tarikh permulaan kuat kuasa bagi kedua-dua akta berkenaan.

Pada 28 April lepas, kerajaan telah mewartakan tarikh permulaan kuat kuasa bagi Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025.

“Pindaan ini amat penting kerana buat pertama kalinya sejak penubuhan Malaysia, undang-undang perburuhan telah berjaya diselaraskan di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Penyelarasan ini merangkumi tiga akta utama iaitu Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 [Akta 350],” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan pindaan ini adalah menjadi keutamaan dan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak disamaratakan.

“Pindaan kedua-dua perundangan ini adalah bagi memenuhi obligasi kerajaan Malaysia terhadap pematuhan undang-undang buruh negara kepada piawaian perburuhan antarabangsa.

“Ia khususnya International Labour Organisation (ILO) Declaration on Fundamental Principles and Rights at Work 1998, bagi meningkatkan imej Malaysia, seterusnya menarik lebih ramai pelabur khususnya dari luar negara,” menurut kenyataan itu. 

KESUMA berkata perkara-perkara utama dalam pindaan itu adalah liputan pemakaian ordinan diperluaskan daripada pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

Selain itu tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari dan cuti paterniti diperkenalkan kepada bapa sebanyak tujuh hari, selain waktu bekerja dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

Perkara lain adalah peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal (flexible working arrangement), aduan diskriminasi di tempat pekerjaan, aduan buruh paksa, gangguan seksual (sexual harassment) serta perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja dengan mengadaptasi Akta 446.

Sementara itu KESUMA memaklumkan pewartaan ini juga melibatkan dua perintah di bawah Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 iaitu Perintah Penggajian (Pengecualian) (Pembatalan) 2025 dan Perintah Penggajian (Pindaan Jadual Pertama) 2025.

Ia turut melibatkan satu perintah di bawah Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 iaitu Perintah Penggajian (Pengecualian) (Pembatalan) 2025 yang turut mula berkuasa pada 1 Mei 2025.

“KESUMA yakin bahawa pindaan kedua-dua ordinan ini akan memberi kesan positif yang besar kepada kebajikan dan hak-hak pekerja di Sabah dan Sarawak seterusnya akan meningkatkan imej Malaysia amnya di persada antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan