EKONOMI

Eksport Produk Halal Malaysia Melonjak Kepada RM61.79 Bilion Pada 2024 - Tengku Zafrul

30/04/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Eksport produk halal Malaysia mencecah RM61.79 bilion pada 2024, menandakan peningkatan 15 peratus daripada RM53.72 bilion yang dicatatkan pada 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dalam Indikator Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut, mendahului Arab Saudi, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

“Kelebihan Malaysia terletak pada kewangan Islam, makanan halal, serta media dan rekreasi.

“Industri halal membentuk sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dengan sumbangan diunjurkan 10.8 peratus atau RM231 bilion menjelang 2030. Pertumbuhan ini didorong terutama oleh ekosistem halal yang teguh merentas sektor seperti makanan, kewangan dan pelancongan,” katanya dalam ucapan prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 di sini, hari ini.

Teks ucapan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri.

Tengku Zafrul berkata permintaan global terhadap produk halal kini bernilai lebih US$3 trilion dan dijangka meningkat kepada US$5 trilion menjelang 2030 sekali gus menyerlahkan tarikan ciri halal yang beretika dan mampan global.

“Penerajuan Malaysia dalam sektor ini adalah bukti inovasi dan dedikasi berterusan kita.

“Antara peserta pasaran halal antarabangsa utama ialah Nestlé, Allana Group, Cargill Incorporated dan Fraser & Neave. Saya bangga apabila mendapat maklum bahawa beberapa syarikat Malaysia seperti DagangHalal Group, Prima Quality Food Industries, Kawan Food Bhd, Crescent Foods, QL Foods Sdn Bhd dan Ayamas Food Corporation, juga diiktiraf sebagai antara peserta terkemuka dunua,” katanya.

Beliau berkata tema MIHAS edisi ke-21 kali ini, “Pinnacle of Halal Excellence” (Mercu Kecemerlangan Halal), mencerminkan kedudukannya sebagai pameran halal terkemuka dan paling berprestij di dunia.

“Berdasarkan penyertaan antarabangsa yang dijangkakan lebih tinggi, MIHAS 2025 akan menjadi edisi yang lebih besar dan lebih dinamik berbanding edisi sebelum ini. Acara ini akan mempamerkan produk, perkhidmatan dan teknologi halal terkini, menyerlahkan kemajuan terkini industri ini,” katanya.

MIHAS 2025 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 Sept, 2025, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Tengku Zafrul berkata inisiatif berkaitan halal adalah sebahagian daripada Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) untuk 2025, terutama dalam konteks kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

“Malaysia giat mempromosikan industri halal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kerjasama serantau.

“Oleh itu, akan ada sebuah pavilion khusus mewakili industri halal ASEAN, serta pavilion khas untuk syarikat daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang merupakan rakan strategik ASEAN, ditampilkan di MIHAS tahun ini,” katanya.

Beliau berkata usaha mengantarabangsakan MIHAS telah dimulakan di Dubai tahun lepas dan akan diteruskan dengan edisi di Shanghai pada November ini.

Sejak diperkenalkan pada 2004, MIHAS telah berkembang daripada 500 reruai kepada 2,100 reruai dalam edisi terbaharunya.

“Saya ingin menekankan bahawa MIHAS edisi ke-20 merupakan pencapaian dengan rekod baharu bagi MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), mencatatkan jualan RM4.3 bilion,” katanya.

Sehingga kini, MIHAS telah menjana jualan eksport hampir RM30 bilion dan menarik 12,000 peserta industri halal tempatan dan antarabangsa, di samping lebih 500,000 pengunjung perdagangan dari seluruh dunia.

Selain itu, lebih 7,000 pembeli antarabangsa telah dipadankan dengan 10,000 syarikat Malaysia melalui program perniagaan utama MIHAS, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan