EKONOMI

Maybank Lantik Shafiq Abdul Jabbar Sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan

30/04/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) melantik Shafiq Abdul Jabbar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan berkuat kuasa 7 Julai, 2025.

Beliau akan menggantikan bekas CFO Kumpulan, Khalijah Ismail

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan itu menjelaskan Shafiq akan melaksanakan peranan penting dalam menyokong Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) untuk memacu penciptaan nilai dan membuat keputusan strategik.

Maybank memaklumkan Shafiq juga dijangka menerajui transformasi kewangan kumpulan ke arah keupayaan yang lebih berpandangan ke hadapan di samping memanfaatkan teknologi dan data.

Beliau akan bekerjasama rapat dengan anggota Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan untuk menumpukan kepada peningkatan nilai pemegang saham serta mendukung piawaian tadbir urus, lapor kepada dan kawalan yang tertinggi untuk memastikan pertumbuhan mampan dan impak jangka masa panjang, tambah Maybank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata kepimpinan kewangan dan pengalaman Shafiq yang kukuh, selama lebih 25 tahun merentas pelbagai industri, akan menjadi kunci untuk menyokong strategi Maybank dalam agenda pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai.

“Kumpulan mengucapkan tahniah kepada Shafiq kerana menyertai pasukan pengurusan kami di bawah kepimpinan saya, dalam memacu Maybank ke hadapan menjadi institusi kewangan yang memberi impak positif yang terbesar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan